PRU15: Proses undian DUN Tioman 7 Disember

Abdul Ghani
Abdul Ghani
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Proses pengundian Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang akan dilaksanakan pada 7 Disember depan.

Ia susulan kematian calon Perikatan Nasional (PN), Md Yunus Ramli, awal pagi ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh menerusi satu kenyataan memaklumkan, hari penamaan calon ditetapkan pada 24 November manakala 3 Disember sebagai hari mengundi awal.

"Tempoh berkempen ditetapkan 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 24 Novembersehingga jam 11.59 malam, 6 Disember," katanya pada Sabtu.

Menurutnya, permohonan undi pos DUN Tioman dibuka mulai 19 sehingga 22 November.

"Permohonan undi pos bagi Kategori 1A iaitu petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis, tentera, dan petugas media hendaklah memohon secara manual menggunakan Borang 1A yang dimuat turun di https://www.spr.gov.my, dan dihantar ke pejabat pegawai pengurus P 091 Rompin," katanya.

Menurutnya, permohonan undi pos kategori 1B warganegara Malaysia yang berada di luar negara dan Kategori 1C agensi dan organisasi dilaksanakan secara dalam talian.

"Untuk pertanyaan atau penjelasan lebih lanjut boleh hubungi Unit Pengurusan Undi Pos di talian 03-8892 7040," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Pegawai Daerah Rompin Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek dilantik sebagai pegawai pengurus dan dibantu oleh enam penolong.

"Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin, Pahang akan digunakan sebagai pusat penamaan calon (PPC) dan pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU)," katanya.

Abdul Ghani berkata, calon layak yang sah dinamakan sebelum ini dikehendaki hadir ke PPC bagi tujuan cabutan undi untuk menentukan giliran pada kertas undi.

"Bakal calon baharu yang ingin bertanding hendaklah menyerahkan kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh pejabat pegawai pengurus oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan calon," katanya.

Ujar Abdul Ghani, seramai 429 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan pilihan raya tersebut manakala 19 buah pusat mengundi.

"Jumlah keseluruhan saluran adalah 54 saluran," katanya.

Dianggarkan pilihan raya DUN Tioman memerlukan peruntukan sebanyak RM3 juta.

"Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang dikemaskini sehingga 9 Oktober akan digunakan pada pilihan raya ini," katanya.

Abdul Ghani berkata, DUN Tioman mengandungi seramai 28,465 orang pemilih yang terdiri daripada 28,200 orang pengundi biasa dan 262 orang polis serta tiga orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

"DPPR DUN Tioman akan mula dijual Rabu ini," katanya.

Calon PN DUN Tioman, Md Yunus Ramli dilapor meninggal dunia jam 3.30 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Rompin.

Md Yunus, 61, sepatutnya menghadapi saingan lima penjuru yang turut membabitkan calon daripada BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH), Osman A Bakar (Pejuang) serta Sulaiman Bakar (Bebas).

PRU15 menyaksikan dua kematian calon termasuk Md Yunus.

Rabu lalu, calon PH di Parlimen Padang Serai, Kedah M Karupaiya,69, juga penyandang kerusi itu meninggal dunia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!