PRU15: Hari bersejarah, keluarga iringi calon GTA Sungai Buloh

Mohd Akmal (kanan) bersama ibu bapanya Mohd Yusoff, Safiah serta adiknya Khairunisa.
Mohd Akmal (kanan) bersama ibu bapanya Mohd Yusoff, Safiah serta adiknya Khairunisa.
A
A
A

SUNGAI BULOH – “Hari ini paling bersejarah kerana kami sekeluarga iringi anak sendiri yang menjadi calon keluar mengundi,” kata Mohd Yusoff Said, 67,

Mohd Yusoff merupakan bapa kepada calon Sungai Buloh dari Gerakan Tanah Air (GTA), Mohd Akmal Mohd Yusof.

“Kalau dahulu kami lima beranak keluar bersama untuk mengundi hari ini anak sulung kami jadi calon, Alhamdulillah... saya bangun pagi berdoa minta ALLAH permudahkan kerana inilah yang dia citakan mahu berjuang untuk rakyat,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Isterinya Safiah Hashim, 65, pula berkata, kalah atau menang anaknya itu sudah membuktikan bahawa dia benar-benar mahu mewakili penduduk di Sungai Buloh.

“Kami sekeluarga sentiasa menyokong beliau dan hari ini kami bersama-sama hadir ke pusat mengundi di SK Bandar Baru Sungai Buloh,” katanya.

Mohd Akmal ketika ditemui berkata, SK Bandar Baru Sungai Buloh merupakan sekolah lamannya.

“Banyak kenangan saya di sekolah, tempat segalanya bermula, tempat saya bermain sebelum saya ke SMK Bandar SungaI Buloh dan terus menyambung pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM),” katanya.

Ujarnya, sama ada menjadi Ahli Parlimen atau tidak di kawasan itu, dia akan terus bersama-sama penduduk Sungai Buloh pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

Kerusi Parlimen Sungai Buloh menyaksikan pertembungan tujuh penjuru antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Gerakan Tanah Air (GTA) serta dua calon bebas.

Saingan sengit di kerusi Parlimen itu membabitkan Khairy Jamaluddin Abu Bakar daripada BN, R Ramanan (PH), Mohd Ghazali Md Hamin (PN), Mohd Akmal Yusoff (GTA), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan dua calon Bebas masing-masing, Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff serta Nurhaslinda Basri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!