APM bersiap siaga hadapi kemungkinan bencana
SHAH ALAM - Angkatan Pertahanan Awam(APM) diatur gerak bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana ekoran keadaan cuaca yang diramalkan hujan lebat di beberapa kawasan di negeri ini pada Sabtu.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam(APM) Selangor, Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata, amaran awal yang dikeluarkan oleh Pusat Meteorologi Negara (MetMalaysia) sentiasa dipandang serius oleh agensi penyelamat seperti APM.
Menurutnya, keselamatan orang awam menjadi keutamaan APM dan pemantauan berterusan tetap dijalankan di beberapa kawasan yang berisiko dinaiki air.
"Seramai 500 pegawai dan anggota serta pelbagai aset seperti bot ambulans dan pacuan empat roda diletakkan dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
"APM sentiasa peka dengan keadaan persekitaran yang berisiko berlakunya bencana dengan sentiasa berhubung dengan wakil penduduk bagi memudahkan maklumat diperoleh sekiranya berlaku kecemasan di kawasan masing-masing," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, pihaknya turut membantu menyediakan pengangkutan kepada mangsa banjir yang menginap di pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mengundi.
"Hari ini adalah hari mengundi bagi rakyat Malaysia dan sudah semestinya tanggungjawab itu harus dilaksanakan.
"Biarpun ada mangsa yang menginap di PPS, namun mereka boleh memohon bantuan pengangkutan untuk ke pusat mengundi sekiranya memerlukan," jelas beliau.
Sementara itu, Mulliadi menjelaskan jumlah mangsa banjir terkini seramai 1,092 orang yang ditempatkan di 14 PPS di negeri ini.
Beliau yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Selangor berkata, angka ini secara tidak langsung menunjukkan penurunan yang ketara berbanding
1,153 mangsa sebelum ini.
"Setakat ini dilaporkan terdapat 14 PPS di seluruh Selangor dengan empat di Kuala Selangor, Sabak Bernam (2), Klang (3), Sepang (6), Kuala Langat (1) manakala dua PPS lagi di dalam status pemantauan sekiranya ada penambahan di lokasi berdekatan," katanya.
Pada 12 November lalu, MetMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat melibatkan 13 negeri sehingga jam 9 malam Sabtu.
MetMalaysia menerusi satu kenyataan memaklumkan, amaran itu dikeluarkan ekoran terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Negeri-negeri tersebut melibatkan kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak, Sabah dan Labuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!