Mangsa banjir tertua di PPS mengundi
RANTAU PANJANG - Mangsa banjir paling tua yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh di sini menunaikan tanggungjawab mengundi pertama kali dalam bah pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Che Limah Che Awang, 88, bangun dan bersiap awal selepas Subuh untuk mengundi di pusat mengundi di sekolah sama dia ditempatkan sebagai mangsa banjir pada jam 9 pagi.
“Ini pengalaman pertama mengundi di PPS kerana rumah dinaiki banjir.
“Lebih mudah kerana jarak tempat mengundi yang dekat iaitu di SK sama dengan PPS,” katanya ketika ditemui di PPS SK Gual To’Deh di sini, pada Sabtu.
Che Limah berkata, petugas di tempat mengundi membantunya dengan kerusi roda untuk pergi mengundi manakala mangsa-mangsa banjir lain turut ringan tulang menghulurkan bantuan semasa dia berada di PPS tersebut.
“Saya sudah sembilan hari berada di PPS ini kerana rumah dinaiki air setinggi 0.5 meter dan berharap dapat segera pulang untuk melihat keadaan rumah,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Rashina Iliayana Abdul Ghani, 28, berkata, pengalaman mengundi dalam banjir tidak akan dapat dilupakan dan menjadi sejarah manis dalam hidupnya.
“Saya bersama suami dan anak berusia lapan tahun serta bayi enam bulan berpindah ke PPS pada Sabtu jam 11 malam kerana air naik sehingga 0.5 meter.
“Kami menaiki bot keluar dari rumah dan berpindah ke tempat selamat di PPS ini,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Kamariah Zakaria, 68, berkata, kali kedua berpindah ke PPS tersebut pada tahun ini selepas banjir melanda rumahnya di kampung berkenaan pada Februari lalu.
“Saya pindah ke PPS sejak Sabtu dan sudah selesai mengundi.
“Saya berhasrat untuk pulang ke rumah pada petang ini jika air surut,” katanya.
Setakat jam 11.30 pagi, mangsa banjir Kelantan berjumlah 401 orang yang ditempatkan di empat PPS di kawasan Pasir Mas dan Rantau Panjang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!