Wanita berpantang, warga emas cacat penglihatan semangat mengundi
SEPANG - Seorang wanita yang masih dalam berpantang tidak mahu melepaskan peluang untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Sepang yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Salak Tinggi.
Izzati Mohd Izwan, 26, yang hadir menggunakan kerusi roda menganggap tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk memilih wakil rakyat wajib dilaksanakan walau dalam apa juga keadaan.
“Saya masih dalam tempoh berpantang, baru melahirkan anak pertama 20 hari lalu. Bagi saya, tanggungjawab memilih kerajaan perlu dilakukan kerana inilah masa depan Malaysia.
“Amanah ini (mengundi) saya akan laksanakan sebaiknya dan berharap wakil rakyat yang terpilih nanti dapat menunaikan tanggungjawab sebaiknya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.
Sementara itu seorang warga emas cacat penglihatan, Rusdi Jaafar, 66, menjadi antara pengundi terawal yang menunaikan tanggungjawab itu hari ini.
Pesara itu yang hadir ditemani isterinya, Arabiya Mansur tiba di pusat mengundi berkenaan pada jam 8.20 pagi
“Walaupun saya tidak dapat melihat namun tetap bersemangat untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
“PRU15 merupakan pilihan raya yang ke-5 bagi saya dan berharap parti yang dipilih rakyat selepas ini dapat mentadbir kerajaan dengan baik,” katanya.
Parlimen Sepang menyaksikan pertembungan lapan penjuru dengan tiga daripadanya merupakan calon wanita.
Perikatan Nasional (PN) diwakili Ketua Wanita, Datuk Seri Rina Mohd Harun; Ketua Wanita Gerakan Tanah Air (GTA), Che Asmah Ibrahim dan Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Raj Munni Aiman Athirah.
Turut bertanding adalah calon Barisan Nasional (BN), Anuar Basiran; R Nageswaran (Parti Rakyat Malaysia); Mohd Daud Leong Abdullah (Parti Utama Rakyat); Mohd Syahryl Amri Mat Sari (Bebas) dan M Muneswaran (Bebas).
Jumlah pengundi Parlimen Sepang adalah seramai 167,988 meliputi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil (89,704), Sungai Pelek (46,172) dan Tanjung Sepat (32,112).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!