PRU15: Majoriti pemimpin utama parti selesai mengundi
KUALA LUMPUR - Majoriti pemimpin utama parti politik tanah air selesai menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setakat tengah hari ini.
Hari pengundian yang bermula 7.30 pagi di Sabah dan Sarawak manakala 8 pagi bagi Semenanjung Malaysia menyaksikan empat calon perdana menteri bagi gabungan parti politik utama negara menjalankan hak demokrasi mereka pada sebelah pagi.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga ‘poster boy' Barisan Nasional (BN) mengundi di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kerayong, Bera; Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan penyandang kerusi Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin mengundi di SMK Sri Muar, Johor; sementara Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Penanti, Permatang Pauh.
Pengerusi penaja Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Dr Mahathir Mohamad mengundi di SK Titi Gajah di Alor Setar, Kedah bersama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali manakala Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan isteri Tok Puan Norzieta Zakaria mengundi di SJK (C) Pei Min, Padang Sera dekat Jitra.
Selain mereka, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO, mengundi di Madrasah Manbail Ulum Sungai Nipah Darat, Bagan Datuk di Perak manakala Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang selesai mengundi di SK Rusila Marang, Terengganu.
Di Sarawak, Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Petra Jaya bersama isterinya Datin Seri Raziah Mohd Tahir selesai mengundi di SK Rakyat, Jalan Bolhassan, Kuching.Selain itu, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin turut mengundi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua, Rantau Negeri Sembilan.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga calon BN Parlimen Pontian adalah antara individu terawal mengundi di SK Seri Bahagia di Benut, Pontian manakala Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bersama isteri Datin Seri Jessica Lim Hai Ean mengundi di SK Yong Peng di Ayer Hitam.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga calon BN Parlimen Kota Tinggi mengundi di SK Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor turut mengundi pada awal pagi manakala Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed yang juga calon BN Pulai bersama isteri Rossana Jaafar serta ibunya Puan Seri Salbiah Abd Hamid, 84, mengundi di SK Agama Dato Omar Yusuf, Johor Bahru.
Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin, yang juga calon PN Parlimen Putrajaya, mengundi di Sekolah Rendah Agama Al-Najah, Presint 9, Putrajaya manakala lawannya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengundi di Sekolah Kebangsaan Presint 9 (1) Putrajaya.
Calon BN Kuala Selangor Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang kali pertama bertanding mengundi di SK Puncak Alam 2 manakala calon PN bagi Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengundi di SK Klang Gate, Hulu Klang.Ketua Srikandi Bersatu Datuk Seri Rina Mohd Harun, yang juga calon PN Parlimen Sepang, mengundi di SK Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.
Sementara itu di Pantai Timur, Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang juga penyandang dan calon PN Parlimen Kota Bharu, mengundi di Maktab Sultan Ismail (SIC), Kota Bharu, Kelantan manakala Pengerusi BN Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, calon BN bagi Parlimen Kemaman, bersama isteri Toh Puan Seri Norliza Mahmud mengundi di Sekolah Kebangsaan Teluk Kalong di Kemaman. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!