PRU15: Lelaki mental buat kecoh, rampas dakwat undi
GOMBAK - Seorang lelaki mempunyai masalah mental dikesan membuat kekecohan dengan merampas dakwat serta menolak peti undi di sebuah pusat mengundi di Ulu Yam, Hulu Selangor, pada Sabtu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, lelaki berusia 27 tahun itu merampas dakwat dan menolak kotak undi sehingga jatuh.
"Semakan lanjut mendapati lelaki tersebut mempunyai rekod sebagai pesakit mental," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini pada Sabtu.
Acryl Sani berkata, selain itu, terdapat tiga kes dilaporkan membabitkan pengundi yang meninggal dunia ketika beratur untuk membuang undi iaitu satu kes di Kota Bahru, Kelantan dan dua kes di Johor.
Acryl Sani berkata, beliau juga sempat melakukan tinjauan di empat pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Amanpuri, Damansara; SK Intan Baiduri, Kepong; SK Setapak Indah dan SK Sungai Kertas, Sri Gombak.
"Saya dimaklumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa hampir 46 peratus pengundi membuang undi sehingga jam 12.45 tengah hari tadi," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan tinjauan dilakukan, pengundi didapati berpusu-pusu keluar menunaikan tanggungjawab pada sebelah pagi menyebabkan keadaan beberapa pusat mengundi mengalami kesesakan.
"Bagaimanapun, saya dimaklumkan kesesakan di beberapa lokasi mula reda sejak jam 10.30 pagi tadi, ada tempat (pusat mengundi) tidak lagi perlu beratur di luar premis,” katanya.
Acryl Sani berkata, pihaknya menjangkakan keadaan agak lengang di pusat mengundi menjelang petang ini memandangkan ramai pengundi sudah menunaikan tanggungjawab pada pagi.
"Meskipun keadaan sesak pada sebelah pagi, namun ia terkawal sekali gus memperlihatkan masyarakat adalah matang dalam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh berhemah, tenang dan tenteram,” katanya.
Mengulas mengenai kesiapsiagaan pihak polis menjelang pengumuman keputusan malam ini, beliau meminta semua pihak supaya menerima apa jua keputusan diumumkan.
"Apa jua keputusan yang akan diumumkan malam ini, kita harap semua pihak menerima keputusan dengan lapang dada.
"Sebagai persediaan, kita pasti sudah bersedia untuk menangani apa juga situasi bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!