PRU15: Pemuzik warga emas mengundi kali ke-11

Calon BN Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria (kanan) menyapa Azarai yang tiba di Pusat Mengundi SK Pasir Gajah, Parit.
Calon BN Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria (kanan) menyapa Azarai yang tiba di Pusat Mengundi SK Pasir Gajah, Parit.
A
A
A

PARIT - Bongkok dan bertongkat tidak menghalang seorang warga emas untuk menunaikan tanggungjawab kepada negara dengan mengundi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kehadiran Azarai Kulop Wahab, 85, yang kemas lengkap bertopi, berjaket dan berkasut kulit hitam ala penyanyi pop menarik perhatian pengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Pasir Gajah di sini.

Azarai yang juga peminat penyanyi Ahmad Jais berkata, itu merupakan stail dirinya yang merupakan seorang pemuzik jika keluar untuk berjalan atau menghadiri majlis.

"Malam tadi sudah siapkan pakaian untuk dipakai pergi mengundi. Anak perempuan saya pula sudah sediakan MyKad dalam beg kerana bimbang, kadang kala lupa letak mana.

"Saya tidak boleh terlepas peluang untuk mengundi kali ke-11 ini. Saya mengundi sejak berusia 22 tahun. Orang muda tidak boleh lalai membantu negara walaupun dengan satu undi," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Penduduk membeli air di gerai milik Fatihah sebaik selesai membuang undi di SMK Layang-Layang Kiri, Parit. (Gambar kecil: Fatiha)
Penduduk membeli air di gerai milik Fatihah sebaik selesai membuang undi di SMK Layang-Layang Kiri, Parit. (Gambar kecil: Fatiha)

Dalam pada itu, pesara tentera, Ahamad Isa Yang, 83, turut membuang undi di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Layang-Layang Kiri di sini.

"Kali ini mengundi amat mudah, tidak sampai beberapa minit, tanpa perlu beratur panjang, saya dapat menjadi pemilih," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, peniaga, Fatihah Mokhtar, 29, mengambil peluang menambah pendapatan dengan menjual makanan dan minuman serta pakaian di hadapan Pusat Mengundi SMK Layang-Layang Kiri.

"Biasanya saya berniaga di pasar-pasar malam namun hari ini saya sengaja memilih lokasi di hadapan pusat mengundi bagi membolehkan pengundi menghilangkan dahaga.

"Cuaca pada waktu pagi agak panas dan saya semak ramalan cuaca, waktu petang pula hujan. Jadi, ini peluang saya untuk cari wang tambahan," katanya.

Menurutnya, jualan airnya laris hingga memaksa bapanya membancuh air untuk kali kedua.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!