PRU15: Pengundian Sabah lancar, 46 peratus keluar mengundi
KOTA KINABALU - Pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Sabah berjalan lancar setakat ini dengan rata-rata pemimpin utama di negeri ini selesai menunaikan tanggungjawab mereka.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah, peratusan keluar mengundi setakat 1 tengah hari ini adalah 46 peratus.
Di SEMPORNA, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Semporna yang disandangnya selama enam penggal mengundi pada 8.14 pagi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bubul, dan turut memilih untuk Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bugaya.
Di BELURAN, Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee hanya mengambil masa yang singkat untuk memangkah kertas undinya selepas tiba untuk mengundi di SK Pekan Beluran pada 10.08 pagi.
"Saya risau ada pengundi merungut melihat saya masuk dan berlengah. Semua orang juga bergilir, saya sampai tadi pun kena berbaris ikut peraturan," katanya yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) bagi mempertahankan kerusi Parlimen disandangnya selama lima penggal.
Di KOTA MARUDU, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang akan mempertahankan Parlimen Kota Marudu disandangnya selama empat penggal selesai mengundi pada 9.30 pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Marudu."Saya telah menjalankan hak saya. Sekarang giliran anda," katanya kepada pemberita sebelum melakukan lawatan ke pusat mengundi lain di Parlimen itu.
Di KINABATANGAN, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan disandangnya selama lima penggal, selesai mengundi bagi PRU15 bagi kerusi Parlimen Kinabatangan di SMK Bukit Garam pada 12.33 tengah hari.
Bung Moktar berkata, trend mengundi pada PRU15 dilihat amat menggalakkan berbanding Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 dua tahun lepas.
"Pada tahun ini, saya pun tidak tahu apa mood rakyat Sabah berduyun-duyun turun mengundi... terlalu ramai (termasuk) di Penangah (Tongod) yang jauh di sebelah ulu (Kinabatangan) juga ramai turun mengundi.
"Ini pada saya merupakan satu mesej bahawa rakyat memang hendakkan perubahan,” katanya.
Di TUARAN, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah selesai mengundi di SK Serusup pada 2.15 petang. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!