PRU15: Tiga generasi curi tumpuan hadir buang undi
PONTIAN - Keluarga tiga generasi dari Taman Impian Pekan Nanas di sini mencuri tumpuan apabila hadir bersama ke pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Raja pada Sabtu.
G Kaliammah, 59, hadir bersama tujuh anak dan dua cucunya tiba di pusat pembuangan undi kira-kira jam 1 tengah hari dan selesai mengundi pada jam 1.30 tengah hari.
Menurut Kaliammah, tujuh daripada sembilan anaknya berusia 21 hingga 43 tahun termasuk seorang yang bekerja di Singapura mengambil keputusan untuk membuang undi bersama.
Jelasnya, dua lagi anaknya tidak mengundi di Pekan Nanas sebaliknya mereka mengundi di Kuala Lumpur.
"Memang kami sekeluarga mahu pergi bersama ke pusat pembuangan undi. Walaupun hujan tapi tidak halang kami sekeluarga melaksanakan tanggungjawab mengundi.
"Saya selalu ingatkan anak-anak supaya pergi mengundi," katanya.
Sementara itu, anak sulungnya, G Saraswathy, 43, berkata, dua anaknya berusia 19 dan 20 tahun dan adik bongsunya yang berusia 21 merupakan pengundi kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dia yang bekerja sebagai operator pengeluaran di Singapura memberitahu baharu sahaja pulang dari Singapura pada pagi Sabtu dengan menaiki pengangkutan awam.
"Pada PRU14 lalu, saya datang ke pusat pembuangan undi dengan ibu dan adik beradik. Kali ini sudah tentu saya mahu bersama mereka untuk mengundi, jadi saya pulang awal pagi ke Pekan Nanas," katanya.
Bagi G Eshaa yang merupakan anak bongsu keluarga terbabit mengakui sedikit gementar untuk menjalankan tanggungjawab mengundi.
"Saya baharu pertama kali mengundi pada PRU15. Memang rasa gementar tetapi kehadiran bersama adik beradik dan ibu ke pusat pembuangan undi membantu saya untuk lebih tenang," jelasnya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!