PRU15: 58 peratus dah keluar mengundi setakat 2 petang
SHAH ALAM - Sebanyak 58 peratus atau 12.18 juta rakyat Malaysia yang layak telah selesai membuang undi setakat jam 2 petang pada Sabtu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi laman Facebook rasminya.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 50 peratus yang dicatatkan pada jam 1 tengah hari tadi.
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan perebutan 221 kerusi Parlimen selepas pengundian di Parlimen Padang Serai dibatalkan susulan calon Pakatan Harapan (PH), Karupaiya Mutusami meninggal dunia tiga hari sebelum hari mengundi akibat sakit jantung.
Jumlah itu menjadikan seramai 939 calon bertanding di Parlimen kali ini, berbanding jumlah asal, 945 orang termasuk enam calon di kerusi Padang Serai.
Pilihan raya kali ini turut melibatkan pengundian Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri iaitu Perlis, Perak dan Pahang.
Sementara itu, satu DUN di Pahang iaitu Tioman turut berdepan situasi sama apabila calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi tersebut, Md Yunus Ramli meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Hospital Rompin kira-kira lima jam sebelum pengundian dibuka pada jam 8 pagi.
Seramai 20,853,681 pengundi dijangka akan menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih di 8,958 pusat mengundi bagi menentukan parti manakah yang akan membentuk kerajaan baharu pada PRU15 hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!