Syed Saddiq selar sikap muat naik video mengundi di Tik Tok

Syed Saddiq setelah selesai membuang undi pada Sabtu.
Syed Saddiq setelah selesai membuang undi pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BHARU - Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyelar sikap segelintir pengundi terutamanya dalam kalangan anak muda yang memuat naik video mereka ketika sedang mengundi di Tik Tok dipercayai menggunakan telefon bimbit masing-masing.

Menurutnya, tindakan sedemikian tidak seharusnya dilakukan kerana pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sememangnya tidak membenarkan telefon bimbit di bawa masuk ke mana-mana bilik pengundian.

“Saya lihat di Tik Tok dah ada yang muat naik video mereka mengundi...maksudnya rekod, bukannya lepas mengundi.

“Itu agak merisaukan dan itu sebab utama SPR tak benarkan telefon dibawa masuk ke dalam kerana ada unsur beli undi...ambil gambar bukti undi parti A atau parti B, keluar dapat duit.

“Sebab itu saranan/nasihat saya kepada anak-anak muda ikut undang-undang kerana ada sebabnya; kalau nak kongsikan siapa kita undi, nak buat video ada bendera buat selepas itu..itu hak kamu, kita ada banyak cara lain untuk tunjukkan sokongan dan sambil itu kita patuh kepada undang-undang dengan tidak membawa telefon bimbit dan rekod di dalam bilik mengundi tersebut,” katanya pada Sabtu.

Mengulas mengenai proses pengundian pada Sabtu, Syed Saddiq berkata, dia terharu dan berbangga melihat anak-anak muda yang keluar sejak awal pagi untuk mengundi.

Katanya, biarpun mengetahui proses pengundian hanya bermula jam 8 pagi tetapi mereka (anak muda) telah pun menunggu sejak awal pagi untuk mengundi.

“Saya nak katakan saya sangat terharu dan bangga dengan anak muda yang memang dari awal pagi dah keluar.. di Muar seawal jam 7 dah tunggu; walhal mereka tahu proses pengundian hanya bermula pada jam 8.

Artikel Berkaitan:

“Mereka keluar beramai-ramai bersama keluarga semua datang sekali, ada yang basah kuyup untuk laksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

“Sebelum ini ada yang katakan bahawa anak muda takkan keluar, tetapi baharu nampak sebentar tadi umur 18 tahun bangga bila diberikan hak untuk mengundi. Pagi tadi (Sabtu), di Muar, saya sempat meninjau di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan mendapati peratusan keluar mengundi bagi anak-anak muda sangat baik.

"Ini bukti anak muda betul-betul cintakan negara, sayangkan negara dan ingin menentukan hala tuju negara bersama-sama,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!