PRU15: Kempen guna barung, PH luah tidak puas hati
GOMBAK - Pakatan Harapan (PH) Gombak mendakwa terdapat parti politik yang masih melaksanakan kempen melalui pemasangan khemah atau 'barung' berhampiran pusat pengundian.
Sekretariat Kempen bagi calon PH Gombak, dalam satu kenyataan berkata, perkara tersebut dikesan di Dewan Beringin, Taman Seri Gombak, Pinggiran Batu Caves, Taman Gombak dan Sekolah Vokasional Sungai Pusu
Menurut kenyataan itu, pemasangan barung itu adalah satu kesalahan yang jelas melanggar peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana waktu kempen telah berakhir.
"Pondok barung tidak lagi diperlukan kerana SPR mempunyai kaunter semakan di setiap pusat mengundi untuk membantu warga Gombak dan Malaysia yang akan mengundi," menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Menurut kenyataan itu lagi, petugas kempen PH Gombak dalam proses membuat laporan kepada pihak SPR berkait pelanggaran undang-undang tersebut.
"Calon-calon lain dinasihatkan untuk menghormati undang-undang pilihan raya dan tidak menjatuhkan maruah serta menggadai harga diri dengan cara begini," katanya kenyataan itu.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Sri Gombak mendapati terdapat sekurang-kurangnya tiga khemah dipasang berhampiran pusat pengundian yang salah satunya terdapat bendera parti digunakan sebagai alas meja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!