PRU15: Laman MySPR tidak dapat diakses, ini penjelasan SPR
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tampil memberikan penjelasan berhubung gangguan yang berlaku di laman semakan dalam taliannya iaitu MySPR Semak.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, SPR memaklumkan laman itu telah mendapat ‘hits’ tinggi hingga melepasi 2.5 juta persaat sehingga menyebabkan ia tidak dapat diakses oleh pengguna.
“Ini sekali gus menyebabkan berlakunya kesesakan dan gangguan pada capaian aplikasi dan portal MySPR Semak. Pihak SPR telah memaksimumkan penggunaan server yang ada bagi mengatasi masalah ini,” menurut kenyataan itu.
Sebagai alternatif, SPR berkata, pengundi boleh mendapatkan maklumat pengundian sama ada dengan menelefon talian hotline SPR di 038892 7218 atau menyemak dibarung SPR di semua pusat mengundi.
Media pada Sabtu melaporkan orang ramai merungut kerana laman semakan MySPR Semakan tidak boleh dilayari ketika tempoh awal waktu pengundian yang bermula pada jam 8 pagi tadi dipercayai akibat gangguan ekoran kesesakan capaian trafik internet.
Namun begitu, laman tersebut dilaporkan kembali aktif pada awal petang tadi.
Seramai 21.2 juta rakyat Malaysia layak mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!