PRU15: Jangan guna kenderaan berat rai kemenangan

Mohamad Zaki (dua dari kanan) bersama pegawainya meninjau pusat pembuangan undi di MRSM Tumpat pada Sabtu.
Mohamad Zaki (dua dari kanan) bersama pegawainya meninjau pusat pembuangan undi di MRSM Tumpat pada Sabtu.
A
A
A

TUMPAT - Polis Kelantan memberi amaran kepada pemilik kenderaan berat atau syarikat berkaitan supaya tidak menggunakan jentera mereka untuk tujuan meraikan kemenangan selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, polis sudah memberi nasihat kepada mereka yang terlibat sepanjang tempoh berkempen.

Menurut beliau, tindakan berkenaan mengakibatkan kesesakan lalu lintas dan kesukaran kepada orang awam.

"Mereka memasang bendera sehingga memenuhi kenderaan sebelum berarak dan situasi itu boleh mengakibatkan kerumitan kepada pemandu lain.

"Kita sudah memberi nasihat supaya tiada kejadian seperti ini selepas pengumuman PRU15. Tindakan terpaksa diambil jika mereka masih berdegil," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di pusat pembuangan undi di Maktab Rendah Sains Mara dekat sini pada Sabtu.

Mohamad Zaki turut mengingatkan pimpinan parti supaya menasihatkan penyokong yang terdiri daripada golongan muda supaya tidak terlalu ghairah menunggang motosikal sehingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

"Kita terpaksa mengeluarkan saman kerana cara mereka boleh mengundang nahas kepada orang lain," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau memaklumkan seorang ejen pilihanraya (pacaba) meninggal dunia ketika sedang bertugas di pusat pembuangan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (A) Lati, Pasir Mas.

Tambahnya, sebelum memulakan tugas kira-kira jam 8 pagi, keadaannya tidak sihat dan sebaik memulakan tugas lelaki berkenaan dikatakan rebah serta tidak sedarkan diri.

"Pemeriksaan kemudian mengesahkan lelaki berusia 58 tahun itu meninggal dunia dan mayat dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," jelas beliau.

Sementara itu, Mohamad Zaki memberitahu, selepas jam 12 tengah hari, sebanyak 53.38 peratus atau 743,808 keluar mengundi.

Kita percaya peratus keluar mengundi akan meningkat sebelum pusat mengundi ditutup.

"Paling penting, polis sudah menjalan tugas dengan baik supaya semua pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!