Abdul Hadi, Ahmad pakai baju logo parti ketika mengundi?
KUALA TERENGGANU - Tindakan calon Pas Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan calon BN Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said memakai baju yang memaparkan lambang parti ketika membuang undi menimbulkan rasa tidak senang.
Ia kerana tindakan itu telah melanggar peraturan dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang melarang semua pengundi, calon serta petugas memakai pakaian yang memaparkan nama, lambang, simbol atau gambar parti atau calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Abdul Hadi dilihat memakai jaket hijau yang memaparkan logo Pas pada sebelah kiri bahagian depan baju ketika tiba di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila di Marang kira-kira jam 8.50 pagi pada Sabtu.
Ahmad pula memakai baju kemeja biru lengan pendek yang juga memaparkan logo BN pada sebelah kiri baju, namun dilindung dengan pelitup muka yang dimasukkan pada poket di bahagian depan sebelah kiri baju berkenaan.
Beliau tiba untuk membuang undi di pusat pengundian SK Teluk Kalong, Kijal di Kemaman, kira-kira jam 7.55 pagi pada Sabtu.
Tindakan kedua-dua pemimpin itu yang ditularkan di media sosial sejak petang Sabtu mendapat kecaman banyak pihak termasuk netizen.
Tindakan itu berkemungkinan melanggar Seksyen 26(1)(g) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan tiada seorang pun boleh pada hari mengundi dalam jarak 50 meter daripada sempadan mana-mana tempat mengundi memakai apa-apa bentuk atau jenis pakaian tercetak atau tertera nama calon, lambang atau simbol mana-mana parti politik.
Ia termasuk baju, topi, pelitup separuh muka (facemask) dan bahan yang mempunyai imej atau apa-apa bahan kempen serta slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.
SPR dalam kenyataan sebelum ini berkata, jika individu berkenaan gagal mematuhi peraturan berkenaan, mereka boleh dihalang daripada memasuki pusat mengundi oleh petugas pilihan raya.
Selain itu, individu yang melanggar peraturan tersebut boleh dihukum penjara sehingga satu tahun, denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, memetik laporan Malaysian Insight, Pengerusi Bersih, Thomas Fann menggesa supaya SPR dan pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan berhubung perkara itu.
Kata beliau, tindakan itu jelas menjadi satu kesalahan pilihan raya kerana memakai apa-apa pakaian menunjukkan simbol atau logo parti ke dalam pusat mengundi adalah dilarang sama sekali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!