Pengundi Padang Serai hadir ke pusat pengundian
KULIM - Terdapat pengundi yang masih tidak mengetahui dan datang ke pusat mengundi di Parlimen Padang Serai hari ini, walaupun pengundian bagi Parlimen itu ditangguhkan akibat kematian Calon Pakatan Harapan, M Karupaiya pada Rabu lepas.
Tinjauan Bernama di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Limau, Lunas, di sini mendapati beberapa pengundi tidak mengetahui bahawa pengundian telah ditangguhkan dan kecewa kerana tidak dapat 'mencalit dakwat'.
Seorang pengundi Saad-Idi Ismail, 43, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran, datang ke SK Sri Limau itu bersama isteri yang juga OKU serta tiga anak mereka pada 3 petang tadi dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Dia sempat menghampiri wartawan Bernama yang sedang melakukan tinjauan di situ lalu bertanya dengan menulis di atas kertas mengapa pusat mengundi berkenaan ditutup dan tiada pengundi beratur.
Apabila diberitahu bahawa pilihan raya bagi Parlimen tersebut ditangguhkan disebabkan kematian seorang calonnya, Saad-Idi seolah-olah tidak percaya dan berkata dia tidak mengetahui perkara itu.
"Betulkah? Aduh, saya dan isteri dah ‘drive’ jauh ni. Bila pula kami kena 'mai' mengundi?” tulis beliau yang kemudian bersama keluarganya meninggalkan kawasan itu.
Low Teck Chai, 28, pula berkata, dia mengetahui tentang kematian Karupaiya, namun tidak sedar bahawa proses pilihan raya bagi Parlimen itu ditangguhkan ke tarikh lain.
"Saya tengok dalam berita ada calon meninggal, tetapi saya ingatkan hari ini masih kena undi. Salah saya tidak tengok laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), rupanya sudah kemas kini maklumat (untuk semakan pengundi),” katanya.
Sementara itu, pengawal keselamatan di sekolah berkenaan Muhammad Zuhairi Asri memberitahu terdapat sekitar 40 pengundi hadir di pusat pengundian itu setakat 3 petang tadi.
"Kasihan mereka, ada satu keluarga datang jauh dari Kuala Lumpur. Saya tidak tahu kenapa mereka tidak tahu sedangkan dalam berita semua dah kata hari mengundi pada 7 Dis, mungkin mereka tidak semak semula dalam laman web SPR,” katanya.
Semalam, SPR menetapkan Pilihan Raya bagi Parlimen Padang Serai tidak diadakan bersekali dengan Pilihan Raya Umum ke-15 hari ini, sebaliknya ditetapkan pada 7 Dis depan ekoran kematian Karupaiya.
Karupaiya, 69, yang merupakan penyandang kerusi Parlimen berkenaan dimasukkan ke Hospital Kulim pada Isnin, selepas rebah ketika berkempen akibat serangan jantung dan meninggal dunia pada 2.27 petang Rabu lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!