9 tidak dapat mengundi, kad pengenalan diguna individu lain
YAN - Polis menerima sembilan laporan daripada individu yang mendakwa mereka gagal untuk membuang undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kedah hari ini kerana kad pengenalan mereka telah digunakan oleh individu lain.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, dua laporan polis dibuat di Sungai Petani, dua di Baling, dua di Kubang Pasu dan masing-masing satu di Alor Setar, Yan serta Kulim.
"Setakat ini kita mendapati ada sembilan individu yang pergi mengundi namun mendapati kad pengenalan telah digunakan oleh orang lain.
"Dalam sembilan kes ini kita sedang membuat semakan dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kertas siasatan akan dibuka," katanya ketika ditemui pemberita pada Sabtu.
Wan Hassan sebelum itu turun padang meninjau proses pengundian di Sekolah Kebangsaan Matang Buluh, dekat sini.
Jelas Wan Ahmad, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, seorang warga emas, Zaleha Abdul Rahman, 75, membuat laporan polis selepas mendakwa dia tidak dapat mengundi kerana namanya didaftar sudah mengundi di Kota Sarang Semut.
Dia yang tinggal di Kampung Buluh Lima, Simpang Empat, di sini, terkejut apabila SPR memaklumkan nombor kad pengenalannya sudah digunakan untuk mengundi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!