Tak dapat mengundi, peniaga lapor polis

Ayub Khan menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Arau.
Ayub Khan menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Arau.
A
A
A

ARAU - Hasrat seorang warga emas untuk melaksanakan tanggungjawab membuang undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terbantut apabila mendapati namanya telah dipotong oleh ejen Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana telah mengundi.

Menurut peniaga, Ayub Khan Abdul Razak, 61, dia hanya menyedari perkara itu ketika membuat semakan di dalam bilik saluran satu di Pusat Pembuangan Undi Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Sheikh Ahmad di sini.

"Saya memang merancang untuk keluar undi pada sebelah petang (Sabtu). Kira-kira jam 3.15 petang, saya telah pergi ke pusat pembuangan undi ditemani seorang anak.

"Setelah menyerahkan kad pengenalan kepada ejen bertugas dalam bilik saluran satu, mereka memberitahu saya telah pun mengundi.

"Saya jadi terkejut dan hairan apabila diberitahu saya tidak boleh membuang undi kerana sudah pun mengundi. Sedangkan jari saya masih belum ditanda dengan dakwat biru," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Ayub Khan berkata, dia meminta ejen SPR di saluran tersebut untuk membuat semakan semula namun jawapan masih sama.

"Saya memang kecewa tidak dapat mengundi pada hari ini kerana satu undi sangat bermakna untuk calon yang saya sokong.

"Disebabkan curiga dengan kejadian ini, saya terus membuat laporan polis di Balai Polis Arau. Pada masa sama, saya bimbang bagaimana kad pengenalan saya boleh digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis berkenaan.

"Pihak kami ada menerima laporan polis tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5)," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!