Jalan Tunku Abdul Halim ditutup sepanjang pasca PRU15

Pelan penutupan susur keluar dan masuk di Jalan Tunku Abdul Halim. - Foto PDRM
Pelan penutupan susur keluar dan masuk di Jalan Tunku Abdul Halim. - Foto PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jalan Tunku Abdul Halim yang turut dikenali sebagai Jalan Duta, di sini akan di tutup di beberapa susur keluar dan masuk bermula jam 7 malam, Sabtu sehingga diberitahu kemudian.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, penutupan itu dilaksanakan bagi melancarkan perjalanan di sekitar Istana Negara bagi memberi laluan kepada urusan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menetapkan penutupan Jalan Tunku Abdul Halim dari Kuala Lumpur menghala ke Tol Duta dan 'cut-off' di beberapa jalan serta susur berhampiran Istana Negara.

"Penutupan jalan di susur masuk dari pusat bandar raya, susur masuk Jalan Tuanku Abdul Halim ke Jalan Semantan dan susur masuk Jalan Semantan ke Jalan Changkat Semantan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Amihizam berkata, seramai 80 anggota dan enam pegawai akan ditempatkan di semua lokasi berkenaan bagi memastikan kelancaran aliran trafik.

Sehubungan itu, Amihizam menasihatkan warga kota supaya merancang perjalanan bagi mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

"Pengguna jalan raya juga diminta mematuhi segala arahan daripada pihak polis bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!