PRU15: Bukan mudah untuk kalahkan Zuraida: Rodziah

Rodziah (tiga kanan) bersama penyokongnya sebelum kemenangannya diumumkan SPR di Dewan Dato Ahmad Razali di Ampang.
Rodziah (tiga kanan) bersama penyokongnya sebelum kemenangannya diumumkan SPR di Dewan Dato Ahmad Razali di Ampang.
A
A
A

AMPANG - Rodziah Ismail menang bergaya di bawah tiket Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Ampang menyifatkan calon Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin bukan mudah untuk dikalahkan.

Rodziah yang memperoleh sebanyak 56,754 undi itu berkata, kemenangan itu adalah usaha kuat semua jentera dan rakyat yang turut menunjukkan kuasa sebenarnya adalah terletak di tangan rakyat.

"Saya tidak nafikan beliau (Zuraida) tidak mudah untuk dikalahkan dengan sumber yang beliau ada, dengan nama beliau bina (sebelum ini) namun kami bekerja kuat untuk kemenangan.

"Ini adalah pilihan rakyat dan kita perlu hormati dan (agar ia) menjadi sejarah kepada yang lain-lain bahawa kalau kita diberikan amanah maka kita perlu melaksanakan sebaik mungkin.

"Jangan khianat kerana khianat ini pedih dan lebih pedih apabila ia meruntuhkan sebuah kerajaan yang mahu dibangunkan semula," katanya ketika ditemui selepas berjaya menawan semula kerusi tradisi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu pada Ahad.

Menurut keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Rodziah menang selepas berjaya memperoleh sebanyak 56,754 undi dengan jumlah majoriti 29,681 undi menewaskan lapan calon lain yang bertanding.

Rodziah menewaskan calon Perikatan Nasional, Sasha Lyna Abdul Latif yang memperoleh 27,073 undi dan calon BN, Ivone Low Yi Wen, 11,509 undi serta calon Gerakan Tanah Air, Dr Nurul Ashikin Mabahwi, 2,653 undi.

Zuraida selaku penyandang hanya memperoleh 4,589 undi, calon Parti Warisan (Warisan), Bryan Lai Wai Chong, 1,423 undi dan tiga calon bebas M Raveendaran, 148 undi, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos, 188 undi dan Tan Hua Meng, 93 undi.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU14 lalu, Zuraida yang merupakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat ketika itu memenangi kerusi Parlimen tersebut dengan majoriti 41,956 undi dalam saingan empat penjuru.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!