Kursus baiki barangan elektrik bantu kurangkan kos sara hidup
SEBERANG JAYA - Kolej Komuniti Seberang Jaya (KKSBJ) mengambil inisiatif menganjurkan Kursus Membaiki Peralatan Domestik secara julung kalinya kepada komuniti bagi membantu mengurangkan kos sara hidup.
Seramai 19 peserta telah mengikuti kursus yang diadakan selama dua hari yang diadakan di KKSBJ baru-baru ini yang dikendalikan oleh Penyelaras Kursus KKSBJ, Mohd Asri Hashim dan tenaga pengajar Ridzuan Samad yang merupakan peniaga perkhidmatan membaiki alat elektrik.
Pengarah Kolej Komuniti Seberang Jaya, Radzuan Othman berkata, latihan yang diberikan ini dapat memberikan pendedahan dan meningkatkan kemahiran membaiki kerosakan peralatan elektrik di rumah agar barangan tersebut tidak dibuang kerana hanya kerosakan kecil.
"Peserta bukan sahaja mempelajari kaedah mencari dan mengesan kerosakan malah juga dapat membaiki peralatan yang dibawa sendiri oleh mereka seperti kipas angin, penyedut hampagas, gerudi tangan, pembancuh minuman dan pemanas air."Ini sekaligus dapat menjimatkan kos mereka dalam membaik pulih berbanding menggunakan perkhidmatan di luar," katanya.
Menurutnya, peserta didedahkan dengan teknik mudah dan majoriti mereka sangat berpuas hati dengan program anjuran KKSBJ ini.
"Peserta mula yakin dan berhasrat untuk sertai kursus pendawaian elektrik yang akan dianjurkan KKSBJ kelak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!