Perancis hilang khidmat Benzema
TAMPARAN hebat buat skuad Perancis apabila penyerang utamanya, Karim Benzema sah akan terlepas saingan Piala Dunia Qatar 2022 kerana mengalami kecederaan paha.
Perkembangan itu diumumkan sendiri Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) dalam satu ciapan di Twitter awal pagi Ahad.
“Karim Benzema terpaksa menarik diri daripada Piala Dunia kerana kecederaan paha. Seluruh pasukan ini dapat rasakan kekecewaan Karim dan mendoakannya agar segera sembuh,” katanya.
Ketiadaan Benzema itu menambahkan lagi senarai kecederaan pasukan Perancis yang mana sebelum ini, Didier Deschamps turut kehilangan N’golo Kante, Presnel Kimpembre, Mike Maignan, Nkunku dan Paul Pogba.
Dalam pada itu, Benzema dalam satu hantaran di Instagramnya memaklumkan, dia akur dengan kecederaan yang dialaminya ketika ini.
Menurut Benzema ia bukan satu keputusan yang mudah untuk menarik diri daripada beraksi di Piala Dunia, namun demi kebaikan pasukannya dia perlu melakukannya bagi memberi ruang dan peluang untuk membantu Perancis di kejohanan tersebut.
“Dalam hidup saya, tidak pernah sekali saya akan berputus asa. Namun pada malam ini saya fikir saya perlu lakukan sesuatu demi kebaikan pasukan ini.
“Saya terpaksa meninggalkan pasukan ini untuk memberi ruang kepada pemain baru bagi membantu Perancis di Piala Dunia. Terima kasih di atas mesej sokongan yang diberikan sebelum ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!