Sanggup ambil risiko demi tambang murah?

Ada ibu bapa memilih menggunakan perkhidmatan van sekolah tidak berlesen untuk membawa anak-anak mereka pergi dan balik dari sekolah.
Ada ibu bapa memilih menggunakan perkhidmatan van sekolah tidak berlesen untuk membawa anak-anak mereka pergi dan balik dari sekolah.
A
A
A

KLANG - Tambang lebih murah berbanding bas sekolah, menyebabkan segelintir ibu bapa sanggup memperjudikan nyawa anak mereka dengan menggunakan khidmat van atau kereta tidak berlesen menghantar dan mengambil anak di sekolah.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar sekolah di daerah ini mendapati, masih ada pemandu kenderaan persendirian menyediakan perkhidmatan itu tanpa memikirkan risiko bakal ditanggung jika berlaku kejadian tidak diingini.

Difahamkan, pemandu kenderaan persendirian itu menawarkan ‘yuran’ jauh lebih murah berbanding kadar tambang van sekolah berlesen.

Seorang pemandu kenderaan persendirian yang ingin dikenali sebagai Sal berkata, dia menawarkan perkhidmatan itu sejak dua tahun lalu.

“Saya seorang suri rumah, daripada saya tak buat apa-apa, baik saya buat (tawar) khidmat ini. Lagipun saya hanya tawarkan kepada jiran terdekat sahaja sebab mereka tak dapat hantar serta ambil anak-anak sebab masing-masing bekerja.

“Lepas ambil dari sekolah, saya hantar mereka ke kelas mengaji pula.

“Dari segi upah tu memang saya tak berkira, lagipun bukan jauh sangat jarak sekolah dengan rumah. Bolehlah nak tampung belanja dapur, bantu suami sikit,” katanya.

Pekerja swasta, Basrida Sabar, 36, pula berkata, dia memilih perkhidmatan van sekolah berlesen demi keselamatan anak-anaknya.

Artikel Berkaitan:

“Bayaran untuk van sekolah berlesen agak mahal dan setiap bulan saya perlu membayar RM90 untuk seorang anak.

“Tapi itu bukan masalah sebab paling penting keselamatan anak-anak terjamin sebab mereka dilindungi,” katanya.

Bagi seorang bapa, Mohd Darul Idzuar Ikhsan, 41, bayaran tambang agak mahal menyebabkan ada segelintir ibu bapa sanggup mengambil risiko.

“Tambang van atau bas sekolah sekarang memang mahal dan membebankan ibu bapa terutama yang berpendapatan rendah.Bayangkan walaupun jarak ke sekolah hanya tiga kilometer, kita terpaksa berbelanja dalam RM60 ke RM70 sebulan.

“Jadi bila ada individu tawarkan perkhidmatan lebih murah, mestilah ada ibu bapa yang sanggup terima,” katanya.

Menurutnya, dia sebelum ini pernah guna van sekolah berlesen tetapi terpaksa memberhentikan perkhidmatan itu berikutan tambangnya agak tinggi selain anak-anak terpaksa berhimpit.

“Jadi saya ambil keputusan hantar dan ambil sendiri anak,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!