Cadang BN, PH bergabung di Perak
IPOH - Barisan Nasional (BN) dicadangkan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membolehkan pembentukan kerajaan negeri yang stabil demi masa depan rakyat berbilang kaum di Perak.
Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Norali Nordin berkata, menerusi kerjasama itu juga dilihat mampu meredakan ketegangan politik yang sedang dihadapi pasca PRU15.
Menurutnya, perkara itu amat penting memandangkan ekonomi dunia dijangka melalui kelembapan dalam tempoh waktu dua tahun bermula suku keempat 2022.
"Maka pihak kerajaan negeri dilihat perlu membuat perancangan awal bagi mengurangkan impak ekonomi yang dijangka menguncup secara langsung kepada rakyat Perak.
"Sebuah kerajaan negeri yang stabil dengan memperlihatkan komposisi kaum rakyat Perak dijangka mampu menarik pelabur asing yang tinggi ke negeri ini," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, BN dan PH di Perak perlu bersemuka bagi mencari jalan yang terbaik untuk menyelesaikan kemelut ini.
Sementara itu, Norali menggesa BN membersihkan parti mereka daripada imej buruk yang sedang mereka hadapi.
Menurutnya, begitu juga di pihak PH yang perlu menghilangkan elemen cauvinis di dalam parti mereka bagi membolehkan kerjasama tersebut menjadi kenyataan.
Kerajaan negeri Perak tidak dapat ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila tiada mana-mana gabungan parti yang memperoleh majoriti mudah 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Perikatan Nasional (PN) memiliki jumlah kerusi DUN paling besar iaitu 26 kerusi diikuti Pakatan Harapan dengan 24 kerusi manakala BN pula hanya memenangi sembilan kerusi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!