Castagne yakin Hazard akan menyinar
SKUAD Belgium tidak menjangkakan kapten mereka, Eden Hazard akan menyinar pada peringkat awal Piala Dunia selepas hampir tidak beraksi bersama Real Madrid musim ini.
Bek sayap Leicester City, Timothy Castagne berkata, dia berharap peminat tidak terlalu mengharapkan aksi yang hebat daripada Hazard sebaliknya memberi masa untuk pemain itu mendapatkan semula rentaknya.
“Untuk Belgium, peminat sudah tentu mahu ingin melihat semula prestasi Eden beberapa tahun lalu.
“Bagi saya, ia bukan mudah untuk datang ke sini tanpa sebarang rentak perlawanan, jadi ia akan mengambil masa.
“Dia tidak akan tiba (pada tahap terbaiknya) serta-merta, dia tidak akan menjadi hebat dalam perlawanan pertama tetapi sedikit demi sedikit dia akan meningkat,” katanya
Untuk rekod, Hazard adalah pemain penting dalam pasukan Belgium yang mara ke separuh akhir Piala Dunia di Rusia empat tahun lalu.
Pemain itu menjaringkan dua gol ketika membelasah Tunisia 5-2 dan satu lagi gol dalam kemenangan 2-0 ke atas England.
Setahun kemudian dia berpindah dari London barat ke Madrid dengan bayaran awal €100 juta (RM471 juta).
Bagaimanapun perpindahan itu bukanlah yang terbaik dan tidak menjadi seperti yang diharapkan apabila Hazard bergelut untuk berada dalam kesebelasan utama Real selepas dibelenggu masalah kecederaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!