Sifat malu sudah ke laut
GERUN sungguh melihat gelagat manusia hari ini yang sudah tidak meletakkan sempadan dalam hidup.
Berpaksikan kepada kebebasan, sifat malu sudah tiada lagi. Mereka boleh ‘membelasah’ dan melakukan apa sahaja yang dirasakan betul. Setiap teguran dianggap ancaman dan kebenaran sudah tenggelam oleh kebatilan.
Tiadanya rasa malu menyebabkan ramai individu melakukan pelbagai perkara yang memalukan dan menjijikkan. Apa yang menyedihkan ialah mereka sendiri sudah tidak tahu lagi erti malu.
Menurut Mohamed Mansor Abdullah dalam buku Psikologi Melayu, antara beberapa sifat malu ialah perasaan rendah diri ataupun berasa segan silu terhadap kekurangan yang ada pada diri sendiri apabila dibandingkan dengan orang lain.
Kekurangan ini juga boleh diertikan sebagai kebodohan, kejahilan, tidak setimpal, tidak seperti, mahupun tidak setaraf.
Individu yang mengalami perasaan begini selalunya menganggap dirinya lebih kecil dan hina daripada orang lain yang dianggap mempunyai serba kelebihan. Akibat perasaan begini, seseorang itu akan menyisihkan dan menghindarkan diri jauh daripada kelompoknya atau menyorok muka daripada dilihat orang lain.
Selain itu, terdapat juga sifat mendapat malu akibat perbuatan keji, hina dan jijik yang dilemparkan seseorang terhadap individu lain sehingga yang menerimanya berasa hina, rendah diri, geram, marah, sanggup bertindak kasar dan keras terhadap orang memalukannya itu.
Ada juga penghinaan oleh seseorang melalui sikapnya sahaja. Misalnya, sikap sinis, dingin, tidak ambil peduli, mencemikkan muka dan tindakan memulau. Orang yang tergamak melakukan keaiban ini mungkin kerana dendam, sakit hati atau mungkin untuk mencabar perasaan emosi lawannya supaya bertindak langsang (tingkah laku yang merosak dan menyakitkan).
Sebetulnya, sifat rasa malu kerana kekurangan diri berbanding kelebihan yang ada pada orang lain sudah hampir tidak relevan lagi pada hari ini. Ini kerana masing-masing sudah mula sombong dan angkuh walaupun masih jahil sebenarnya.
Keadaan ini terbukti apabila mereka masih sanggup berbahas dan bertelagah terhadap sesuatu isu yang mereka sendiri tidak arif dan pakar dalam bidang tersebut.
Apabila pandangan mereka disanggah, kata-kata nista pula dihambur menerusi pelbagai medium media. Selain itu, masih ramai tidak rasa malu dengan kekurangan yang ada dalam diri kerana gagal mengawal nafsu terhadap kebendaan.
Akibatnya, menerima sogokan dan rasuah sudah dianggap biasa dan tidak berasa malu dengan tindakan tersebut.
Terdapat juga dalam kalangan masyarakat tidak berasa malu dengan sifatnya yang gagal melawan nafsu untuk berseronok, menyebabkan segala perbuatan mereka yang terlampau semasa berhibur dianggap tidak salah atas dasar hak peribadi dan kebebasan walaupun dianggap jijik oleh majoriti masyarakat.
Berkaitan sifat malu ini, perkara yang lebih serius ialah ramai individu yang mendapat malu kesan daripada mereka tidak pernah berasa malu. Disebabkan tidak berasa malu untuk berbohong dan memfitnah, maka ramai yang telah mendapat malu kesan daripada perbuatan tersebut.
Bagi mereka yang mendapat malu, bukan sahaja reputasi diri terjejas malah ahli keluarga turut terpalit. Apa yang paling menyeksa ialah mereka pula terpaksa memikul beban untuk membuktikan tidak bersalah dengan fitnah tersebut.
Besarnya kesan dimalukan, ada yang sampai bercerai-berai, dirampas hak-hak istimewa, dibuang kerja, dipandang serong, dicaci dan dihina sehinggakan ada yang sanggup membawa diri kerana sudah tidak sanggup untuk menghadapinya.
Walaupun kebenaran akan muncul jua, namun kehidupan mereka sudah tidak segembira dahulu. Ini kerana taman yang cantik dan tenang sebelum ini sudah tidak berseri lagi, kering dan gersang.
Beringatlah dengan sifat malu. Ini kerana Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya antara perkara yang diketahui manusia daripada kalimat kenabian terdahulu adalah, jika engkau tidak malu, berbuatlah sesukamu”. (Riwayat Bukhari).
Ibn Atha’illah al-Sakandary pernah berkata, “Adakalanya umur itu panjang tetapi sedikit manfaatnya. Adakalanya umur itu pendek tetapi banyak manfaatnya.” Oleh itu, untuk menjadi insan yang bermanfaat jagalah sifat malu supaya tidak hilang ke laut.
* Prof Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!