PRU15: PH menang cemerlang di Johor banding di negeri lain

Syed Ibrahim Syed Noh
Syed Ibrahim Syed Noh
A
A
A

TANGKAK - Pakatan Harapan (PH) masih berjaya mencatatkan keputusan cemerlang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbanding di negeri lain apabila menang 15 kerusi Parlimen di Johor.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperoleh tujuh daripada 11 kerusi ditandinginya manakala selebihnya disumbangkan parti komponen PH dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Beliau yang menang di kerusi Parlimen Ledang pada PRU15 dengan majoriti 9,769 undi mengucapkan tahniah kepada semua calon PKR kerana telah melaksanakan tanggungjawab sebagai calon sebaik yang boleh.

"Yang tewas, kita teruskan perjuangan dan bina kekuatan semula bersama parti dan PH. Pengalaman yang ditimba semestinya amat berharga dan menjadi pedoman di masa depan. Kita tewas di Pagoh, Simpang Renggam, Sembrong dan Tenggara tetapi dengan bermaruah.

"Bagi yang menang, kita ada tanggungjawab besar untuk laksanakan perubahan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli.

"Kita menang di Johor Bahru, Pasir Gudang, Tebrau, Sekijang, Segamat, Batu Pahat dan Ledang. Kita berjaya pertahankan tiga kerusi lompat iaitu Batu Pahat, Segamat dan Tebrau," katanya dalam Facebook miliknya, pada Ahad.

Syed Ibrahim turut mengucapkan terim kasih kepada pimpinan dan jentera di peringkat cabang yang turun membantu, khususnya Jawatankuasa Pilihan Raya Cabang (JPRC) dan Jentera Pilihan Raya Negeri (JPRN).

"Juga tidak dilupakan JPRP yang kali ini menguruskan bahan kempen dengan lebih baik. Di saat diperlukan, kita lebih nampak kegigihan anggota kita untuk bekerja demi rakyat dan parti.

Artikel Berkaitan:

"Kita sudah melakukan usaha yang sebaiknya. Mungkin ada beberapa perkara yang kita terlepas pandang. Kita belajar dari kekurangan dan kesilapan. Kita baiki di masa akan datang," ujar beliau.

Katanya, ada dua Parlimen lagi yang perlu diberi tumpuan dari sekarang hingga 7 Disember ini iaitu Padang Serai dan Baram.

Sementara tahun depan pula kata Syed Ibrahim, akan berlangsung Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Jelasanya, tiga negeri dimenangai PH sebelum ini wajib dipertahankan dan tiga negeri dimenangi Perikatan Nasional (PN) wajib dirampas.

"Johor wajar juga berperanan membantu rakan-rakan di sana nanti. Moga PH dapat membentuk kerajaan yang berwibawa dan membawa negara ke landasan yang betul tanpa menggadaikan maruah dan mandat rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!