'Kemenangan di Gombak satu keinsafan' - Amirudin

Amirudin ditemui di pusat penjumlahan undi PRU15 P098 Gombak SMK Sungai Pusu selepas dinobat menang kerusi Parlimen itu pada awal pagi Ahad.
Amirudin ditemui di pusat penjumlahan undi PRU15 P098 Gombak SMK Sungai Pusu selepas dinobat menang kerusi Parlimen itu pada awal pagi Ahad.
A
A
A

GOMBAK - Kemenangan Datuk Seri Amirudin Shari di Gombak memberikan keinsafan buatnya untuk bekerja lebih kuat bagi membalas kepercayaan pengundi.

Menteri Besar Selangor itu berkata, kemenangan itu adalah satu pengalaman yang amat bermakna bukan hanya bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi juga Pakatan Harapan (PH) secara keseluruhan.

Menurutnya, merampas kembali kerusi PH di Gombak bukan tugas yang mudah setelah berlaku episod pengkhianatan oleh ahli Parlimen sebelum ini.

"Sudah pastinya saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan parti, semua petugas dan pengundi yang telah memberikan undi signifikan dengan jumlah keluar mengundi tinggi.

"Saya juga berterima kasih kepada pesaing yang telah berkempen. Keputusan telah dikeluarkan dan ia memberikan keinsafan kepada saya untuk meningkatkan lagi perkhidmatan kerana pesaing saya mempunyai penyokong yang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian selepas dinobat Ahli Parlimen Gombak baharu apabila menang dengan majoriti majoriti 12,729 undi.

Amirudin memperoleh 72,267 undi diikuti Mohamed Azmin (PN) dengan 59,538 manakala Datuk Megat Zulkarnain Omardin dari BN 30,723 undi, Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir (Pejuang) 2,223 undi dan Ir Zulkifli Ahmad (Bebas) 675 undi.

Pada Sabtu, kemenangan Amirudin tertangguh hampir dua jam selepas pencabar dari PN membuat permohonan semakan penjumlahan undi.

Artikel Berkaitan:

Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Parlimen Gombak, Nor Azlina Abd Aziz akhirnya mengumumkan keputusan rasmi kemenangan Amirudin sekitar jam 3.30 pagi.

Dalam pada itu, Amirudin berharap kemenangan beliau tidak mematahkan semangat kepada semua pencabarnya untuk bersama-sama memajukan Gombak.

"PRU15 adalah proses demokrasi, saya harap kita boleh move on untuk membangunkan Gombak dan membentuk sebuah perwakilan di Parlimen yang berkesan.

"Saya harap kita mampu menyumbang kepada proses semak dan imbang atau pembentukan kerajaan yang stabil pada masa kini dan hadapan," katanya

Beliau yang juga Pengerusi PH Selangor turut mengucapkan tahniah kepada pasukannya yang mencul juara selepas menang 16 daripada 22 kerusi dipertandingkan di negeri itu.

Amirudin berkata, kemenangan besar itu memberikan cabaran kepada PH untuk persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri akan datang

"Mungkin ada beberapa kerja rumah yang perlu kita lakukan untuk mengukuhkan PH di Selangor dan mampu mengekalkan kerajaan negeri akan datang," katanya.

PRU15 menyaksikan PH Selangor menang 16 kerusi, Perikatan Nasional (PN) peroleh enam kerusi manakala BN tidak memenangi sebarang kerusi di negeri itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!