BN perlu jadi pembangkang yang kuat demi rakyat

Isham Jalil
Isham Jalil
A
A
A

SHAH ALAM - BN perlu menjadi pembangkang yang kuat untuk menyemak imbang kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, jika ditentukan kalah, parti gabungan itu perlu berani menjadi pembangkang.

Menurutnya, mungkin itulah ketentuan ALLAH supaya BN menjadi penyemak imbang kepada kerajaan untuk kepentingan rakyat.

"Kini kita telah tewas lagi dalam PRU15. Rakyat telah memberikan mandat kepada parti yang mereka pilih untuk mentadbir negara.

"Ini adalah ketentuan ALLAH SWT, kita telah berikhtiar sebaik mungkin namun ALLAH yang menentukan segala-galanya.

"Sekiranya kita terus ikhlas dan jujur dalam perjuangan insya-ALLAH, ALLAH akan bantu mencapai kejayaan. UMNO adalah parti yang banyak berjasa kepada negara dan rakyat," ujarnya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam keputusan PRU15 pada Sabtu, BN kalah teruk di peringkat Parlimen dengan memperoleh 30 kerusi.

BN turut tewas di Dewan Undangan Negeri Perlis, Perak dan Pahang.

Artikel Berkaitan:

Tambah Isham, BN perlu mencari jalan dan berusaha untuk memulihkan parti supaya ia diterima semula oleh rakyat pada masa akan datang.

"Akar umbi UMNO akan terus setia dan istiqamah dalam perjuangan ini, walaupun dengan apa jua cabaran dan dugaan melanda seperti yang kita telah hadapi sebelum ini.

"Saya akan terus bersama akar umbi dalam mencari dan mencapai penyelesaian sekali gus melakukan pembaharuan sehingga kita berjaya memulihkan parti ini bersama-sama serta diterima semula oleh rakyat," ujarnya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana bekerja keras sepanjang tempoh pilihan raya.

"Kepada ahli-ahli dan akar umbi UMNO di seluruh negara, saya ingin mengucapkan terima kasih ke atas segala usaha dan kerja keras anda semua sepanjang tempoh pilihan raya dan juga sepanjang empat tahun setengah kebelakangan ini selepas kita kalah PRU-14," jelasnya.



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!