PRU15: Isham Jalil dilantik Ketua Penerangan UMNO baharu

Shahril Sufian Hamdan (kiri) dan Isham Jalil.
Shahril Sufian Hamdan (kiri) dan Isham Jalil.
A
A
A
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO yang baharu menggantikan Shahril Sufian Hamdan yang meletak jawatan pada Ahad.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pelantikan itu dibuat oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkuat kuasa pada Ahad.

Menurutnya, pelantikan itu dibuat menurut Fasal 9.6 Perlembagaan UMNO.

"Terima kasih atas khidmat yang telah diberi Shahril," katanya dalam satu kenyataan dalam Facebooknya.

Sementara itu, Isham turut memaklumkan tentang pelantikannya sebagai Ketua Penerangan UMNO yang baharu.

"Saya baru dimaklumkan sebentar tadi melalui telefon oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa susulan daripada perletakan jawatan Shahril dan perbincangan di antara kepimpinan tertinggi parti, saya telah dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkuat kuasa hari ini.

"Surat rasmi telah pun ditandatangani oleh kepimpinan parti. Saya ucapkan terima kasih di atas pelantikan ini dan kepercayaan parti terhadap saya.

"Walaupun pelbagai cabaran dan dugaan yang akan kita tempuhi bersama di kala ini, kita tidak boleh berputus asa.

"Tanggungjawab ini adalah berat, lebih-lebih lagi di kala kita berada dalam kekalahan dan kesempitan ini. Saya percaya kita perlu membuat pembaharuan kepada parti dari dalam," jelasnya.
Artikel Berkaitan:


Isham turut menegaskan, tidak akan sesekali lari daripada perjuangan dan akan terus istiqamah serta berkorban untuk parti bersama akar umbi demi agama, bangsa dan tanahair.

Disebabkan itu, beliau menerima tanggungjawab berkenaan dan akan memegang amanah itu dengan sebaiknya walaupun UMNO kini tidak mempunyai apa-apa.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!