PRU15: Lumpuh tak halang Osamanna keluar mengundi
MARANG - Seorang lelaki yang mengalami lumpuh seluruh badan akibat penyakit 'inclution body myositis' menggagahkan diri untuk keluar melaksanakan tanggungjawab mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Osmanna Aziz Omar, 54, dari Kampung Paya, di sini menunaikan tanggungjawab itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Marang di sini, pada Sabtu.
Bapa kepada dua anak itu tiba di pusat mengundi berkenaan dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda serta dibantu oleh empat lelaki.
Walaupun tidak berupaya bergerak, Osmanna tidak pernah terkecuali untuk mengundi malah telah melaksanakan tanggungjawab itu sejak berusia 21 tahun lalu (ketika Pilihan Raya Umum ke-9 (PRU9).
"Saya tidak mahu terlepas peluang untuk menunaikan kewajipan pada negara. Sebagai rakyat Malaysia, walau apa jua pun keadaan diri saya perlu keluar untuk mengudi.
"Ini sahajalah 'jasa' yang boleh saya beri kepada negara dengan keupayaan saya yang terhad ini. Niat saya hanya satu, iaitu mahukan kerajaan yang bersih dan stabil yang boleh memacu negara kita dan sudah tentu kita akan kekalkan yang terbaik," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.
Menurutnya, tiga lagi adiknya yang mengalami penyakit sama iaitu Mohd Adnan Omar, 37; Nor Aini, 52 dan Osmanna Azman Omar, 48, tidak dapat keluar mengundi kerana tahap kesihatan begitu merosot.
"Sebelum ini (PRU14) saya dengan seorang adik lelaki keluar mengundi, kali ini saya berseorangan kerana salah seorang daripada mereka demam, seorang lagi kakinya membesar dan seorang lagi mengalami sawan," jelasnya.
Simptom inclution body myositis menyerang Osmanna Aziz sejak dia berusia 27 tahun dengan mengalami tanda-tanda awal tidak mampu berjalan.
Pada 2004, Osmanna Aziz hanya mampu terlantar kerana sudah tidak berupaya menggerakkan anggota badan dan dia lumpuh seluruh badan 10 tahun kemudiannya.
Empat adik-beradik itu hilang tempat bergantung setelah kedua ibu dan bapa mereka meninggal dunia pada 2021 dan 2016 dan kini dijaga oleh bapa saudara, Roslan Salah, 56.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!