Veteran UMNO Perak desak Ahmad Zahid letak jawatan
IPOH - Veteran UMNO Perak mendesak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) serta-merta.
Pengerusinya, Datuk Abdul Khalid Mohd Nasir berkata, desakan itu berikutan kegagalan beliau memimpin hingga mengakibatkan kekalahan teruk kepada calon-calon BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Ini pendirian veteran UMNO dengan harapan pucuk pimpinan mengambil tanggungjawab kerana kita kesal disebabkan kempen-kempen yang dilalui banyak berkisar mengenai peribadi presiden sendiri.
"Kerana sayangkan UMNO, Ahmad Zahid perlu sahut desakan ini. Kami percaya beliau bukan tiada galang gantinya tetapi sampai masa undurlah," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Ahad.
Abdul Khalid berkata, veteran pernah menyuarakan pandangan meminta Ahmad Zahid untuk berundur tahun lalu.
"Beliau pernah bercuti sekejap dan pegang kembali (jawatan). Kita perlu ikut peraturan parti yang mana pertukaran jawatan adalah menerusi Perhimpunan Agung UMNO.
"Veteran pernah bertanya adakah beliau kembali ini bagus atau tidak namun Ahmad Zahid memberitahu dirinya presiden perlu bertugas sebagai presiden bukan bercuti dan akhirnya ini yang terjadi," katanya.
Abdul Khalid berkata, pihaknya juga menegaskan supaya kerajaan campuran yang bakal dibentuk hendaklah gabungan dengan Perikatan Nasional (PN).
"Jawatan perlu dipangku oleh Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan) untuk meneruskan rundingan jika perlu dengan gabungan lain membentuk kerajaan campuran.
"Veteran mengambil sikap lebih baik ialah antara PN dan BN. Kami berkempen bukan hendak jadi pembangkang tetapi kerajaan, tidak cukup nombor. Kerajaan campuran ini biasa di mana-mana negara tetapi sekiranya terus bertegang kita tiada kerajaan, tergantung," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!