'Cikgu' berkhalwat dengan pelajar, didenda
Lelaki berusia 25 tahun dan berasal dari Dungun turut berdepan hukuman sebulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda ditetapkan.
Hakim Syarie membuat keputusan itu selepas dia mengaku salah berkhalwat dengan seorang pelajarnya berusia 21 tahun dari Selangor yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.
Hukuman sama juga dikenakan terhadap pasangannya yang turut mengaku salah atas pertuduhan tersebut.
Mengikut fakta kes, serbuan dan pemeriksaan dijalankan ke atas sebuah bilik hotel bajet di Jalan Tok Lam, di sini, kira-kira jam 11.15 malam, pada 19 Jun lalu.
Semasa tiba di hadapan bilik, didapati pintu utama tertutup rapat sebelum bertindak mengetuk pintu dan memberi salam beberapa kali.
Lebih kurang seminit kemudian, pintu dibuka seorang lelaki yang berseluar pendek tanpa baju sebelum pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita memakai baju T dan berseluar pendek sedang bersembunyi di dalam bilik air.
Siasatan mendapati mereka tiada hubungan suami isteri yang sah ataupun mahram.
Sementara itu, di mahkamah sama, sepasang kekasih didenda maksimum RM3,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda selepas mengaku salah berkhalwat buat kali kedua di sebuah rumah tumpangan di Kuala Nerus.
Lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori, 22, dan pasangannya, 23, mengaku melakukan kesalahan itu selepas rumah tumpangan disewa mereka diserbu, lebih kurang jam 1.12 pagi, pada 5 Jun lalu.
Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan Pendakwa Syarie, Khanurulhajja Mustafar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!