Gabungan GPS+PN+BN+GRS bentuk kerajaan Persekutuan: Abang Johari
Mengumumkan perkara itu pada Ahad, Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, GPS juga memilih Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.
"Fokus dan tanggungjawab utama kita sekarang haruslah kepada kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini.
Pada PRU15 semalam, GPS yang dianggotai empat parti tempatan Sarawak memenangi 22 daripada 31 kerusi Parlimen di negeri itu.
Abang Johari, yang juga Premier Sarawak, berkata GPS membuat keputusan itu memandangkan dunia dijangka berhadapan dengan cabaran krisis ekonomi lebih genting pada 2023.
"Demi untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjamin dan ekonomi negara kita terpelihara maka sebuah kerajaan yang stabil dan kuat haruslah dibentuk dengan kadar yang segera," katanya.
Beliau berkata, asas GPS untuk membentuk kerajaan gabungan itu adalah untuk menegakkan keluhuran perlembagaan Persekutuan dan Sarawak, Perjanjian Malaysia 1963 serta Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan.
Katanya, persetujuan GPS juga mengambil kira autonomi Sarawak dalam pembangunan pendidikan dan kesihatan serta kepentingan lain negeri itu.
Ditanya sama ada persetujuan itu turut melibatkan pelantikan seorang Ahli Parlimen GPS sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau berkata: "Itu perkara kemudian. Perkara rakyat lebih penting. Bukannya kita sibuk hendak jadi Timbalan Perdana Menteri." - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!