Zahid, Tok Mat didesak lepas jawatan

Ahmad Zahid, Mohamad
Ahmad Zahid, Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Ketua-Ketua UMNO Bahagian Malaysia mendesak agar Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) segera meletak jawatan bagi mengambil tanggungjawab atas kekalahan teruk dan memalukan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Muhamad Anuar Mohd Yunus berkata, pihaknya juga turut menuntut supaya Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih dikenali Tok Mat melepaskan jawatan kerana kekhilafan strategi calon-calon yang dipertaruhkan gabungan itu.

Jelas Anuar, gesaan itu merupakan antara lima perkara yang dituntut Naib Ketua-Ketua UMNO Bahagian Malaysia berikutan kegagalan gabungan itu kembali mentadbir negara.

Naib Ketua-Ketua UMNO Bahagian Malaysia dengan penuh tawadduk demi sayangnya kepada parti dan perjuangan agama, bangsa dan negara menyatakan pendirian dan menuntut tindakan serta merta kepimpinan tertinggi parti pertamanya sebarang perbincangan dan usaha menyatukan parti UMNO dan BN dengan Pakatan Harapan (PH) adalah tidak diterima.

"Kedua, Datuk Seri Ahmad Zahid adalah didesak untuk melepaskan jawatannya sebagai Presiden UMNO seterusnya Pengerusi BN serta-merta demi pertanggungjawaban terhadap kekalahan yang memalukan malah lebih teruk dari Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, perkara lain yang turut dituntut adalah Mohamad sebagai Pengarah Pilihan Raya BN melepaskan jawatan dan semua pemimpin UMNO yang jelas dilihat dekat di hati rakyat hendaklah diberikan tempat serta-merta di dalam kepimpinan Majlis Tertinggi UMNO.

"Kelima, meneliti kembali pola kekalahan BN di kawasan-kawasan yang selama ini diberikan khidmat belarakyat yang cemerlang oleh penyandang-penyandang kita sebelum ini, malangnya mereka dinafikan untuk kembali bertanding sehingga parti akhirnya tewas di kawasan-kawasan berkenaan.

"Oleh itu, mereka harus diberikan tempat dan peranan di dalam pucuk pimpinan parti bagi menunjukkan apresiasi parti terhadap isyarat rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada awal pagi Ahad, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan tiada mana-mana parti politik memperoleh majoriti 50 peratus daripada 220 kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada PRU15 untuk membentuk kerajaan.

Berdasarkan keputusan rasmi itu, Pakatan Harapan memperoleh 76 kerusi; Perikatan Nasional (51); Barisan Nasional (30); Gabungan Parti Sarawak (22); Pas (22); Gabungan Rakyat Sabah (enam) dan Warisan (tiga).

Selain itu, Parti Ikatan Demokratik (Muda) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) masing-masing satu dan Bebas, dua.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!