Muhyiddin tinggalkan kediaman, hadiri mesyuarat Bersatu
KUALA LUMPUR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meninggalkan kediamannya pada jam 8.30 malam dipercayai menuju ke sebuah hotel di Subang bagi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Cubaan media mendapatkan reaksi beliau bagaimanapun tidak berjaya apabila kenderaan yang membawa Ahli Parlimen Pagoh tidak berhenti.
Sebelum itu, media difahamkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin susulan kenyataan pembentukan kerajaan bakal melibatkan ahli-ahli Parlimen BN.
Bagaimanapun sehingga Muhyiddin beredar, tiada sebarang pergerakan pemimpin BN dilihat di situ.
Tumpuan dipercayai akan terarah ke lokasi mesyuarat Bersatu.
Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada mana-mana parti berjaya memperoleh majoriti bagi membentuk kerajaan.
Pada Ahad, susulan pertemuan bersama beberapa pemimpin parti Sabah dan Sarawak, Muhyiddin dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg mengeluarkan kenyataan bahawa gabungan-gabungan parti itu yang yakin memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan.
Bahkan Abang Johari turut menyatakan penglibatan BN sebagai sebahagian daripada kerajaan campuran yang bakal dibentuk.
Muhyiddin pula menyatakan keyakinan memperoleh cukup sokongan untuk membolehkan diri beliau dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!