Kilang proses silikon terbakar
PULAU INDAH – Sebuah kilang pemprosesan silikon di Jalan perigi Nanas, Pulau Indah, di sini, musnah dalam kebakaran, malam tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan daripada pihak pengurusan premis itu, kira-kira jam 8.54 malam.
Katanya, seramai 82 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang, Andalas, Kota Raja, Sungai Pinang, Shah Alam, Serdang dan Telok Panglima Garang dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Anggota bersama enam jentera dan dua water tanker dan jentera kompresor BATV tiba di lokasi jam 9.16 malam dan mendapati api sudah marak.
“Berikutan itu operasi memadamkan kebakaran terus dijalankan dan api berjaya dikawal lebih kurang satu jam kemudian," katanya.
Menurutnya, anggota bomba masih ditempatkan di lokasi bagi memantau keadaan.
“Kilang seluas kira-kira 1.2 hektar itu musnah sepenuhnya. Bagaimanapun tiada kemalangan dilaporkan.
“Operasi pemadaman secara menyeluruh sedang dijalankan terutama membabitkan longkang di kawasan kilang berkenaan.
“Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!