Asas ekonomi Malaysia kekal kukuh - RHB IB

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
ASAS ekonomi Malaysia kekal kukuh sehingga 2023, walaupun terdapat ketidaktentuan politik berikutan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berakhir baru-baru ini, kata RHB Investment Bank (RHB IB).

RHB IB dalam nota penyelidikan berkata, ia mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 untuk Malaysia pada 7.0 peratus tahun ke tahun dengan baki risiko cenderung kepada 7.5 hingga 8.5 setiap sen, diikuti 4.5 peratus pada 2023.

Berdasarkan keputusan rasmi, PRU15 berakhir dengan Parlimen tergantung di mana tiada parti politik memperoleh majoriti mudah jumlah kerusi mencukupi di Parlimen.

Pakatan Harapan memenangi sebanyak 82 kerusi parlimen, diikuti Perikatan Nasional (73) dan Barisan Nasional (30).

Sehubungan itu, RHB IB berkata, ejen ekonomi dan peserta pasaran kewangan berkemungkinan akan mengamalkan sikap tunggu dan lihat dalam tempoh terdekat sehingga kerajaan baharu ditubuhkan.

Dalam pada itu, ia menjangkakan ringgit akan didagangkan dalam julat 4.60-4.70 berbanding dolar US pada suku keempat 2022 diikuti 4.70-4.80 pada separuh pertama 2023.

"Kemerosotan ketara dalam mata wang USD/MYR baru-baru ini didorong kebanyakannya oleh pengeksport yang menjual dolar US dan juga mudah tunai rendah tipis dalam pasaran pertukaran asing," katanya.



RHB IB juga mengekalkan unjuran hasil purata separuh pertama 2023 Sekuriti Kerajaan Malaysia bagi tempoh 10 tahun (MGS10YR) pada 4.0-4.30.

"Dalam pasaran bon mata wang tempatan, pada tempoh satu hingga dua minggu yang lepas, kami mendapati tidak banyak aliran asing daripada akaun wang sebenar atau dana lindung nilai yang memangkinkan penurunan dalam hasil MGS10YR sejak indeks harga pengguna teras Amerika Syarikat (AS) Oktober pada 10 November lepas berada di luar jangkaan.

"Kami berpendapat kemerosotan dalam hasil MGS10YR mungkin disebabkan kebanyakannya oleh penurunan hasil 10 tahun Perbendaharaan Amerika Syarikat dan bukannya faktor khusus untuk Malaysia,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu, RHB IB berkata, keputusan PRU15 telah mewujudkan ketidaktentuan terhadap Bajet 2023 yang diumumkan pada 7 Oktober lepas ia telah disifatkan terbatal berikutan pembubaran parlimen pada 10 Oktober, 2022.

Ia berkata, garis masa untuk pembentangan semula bajet itu yang sepatutnya dibentangkan menjelang Disember 2022 kini menjadi tidak pasti berikutan berkemungkinan berlaku perubahan dalam gabungan parti politik, ia akan bergantung pada masa pembentukan Kabinet baharu.

"Berdasarkan perkembangan terkini, pembentangan semula Bajet 2023 mungkin mengalami kelewatan berikutan pemilihan kerajaan baharu,” katanya.

Setakat ini, perkembangan terbaharu yang perlu diberi perhatian adalah penyerahan nama Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri Ke-10 kepada Yang di-Pertuan Agong, mesyuarat antara pemimpin parti dan pembentukan Kabinet baharu.

"Tidak kira apa pun hasilnya, kami melihat bahawa langkah 'berorientasikan rakyat' dan penyatuan fiskal secara beransur-ansur akan kekal sebagai keutamaan utama bagi kerajaan baharu, di mana bantuan wang tunai dan jenis bantuan lain kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana berkemungkinan akan diteruskan,” katanya. - Bernama

TAGS :

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!