Kalah atas kertas, tetap menang di hati

 Lando dan Uncle Kentang.
Lando dan Uncle Kentang.
A
A
A

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah pun berakhir. Bagi yang menang tahniah diucapkan dan selamat bertugas. Jalankanlah tanggungjawab yang telah dimandatkan itu dengan sebaik-baiknya.

Jangan lupa manifesto yang dibentangkan haruslah dilaksanakan. Jangan hanya pandai tanam tebu di tepi bibir.

Namun bagi yang kalah, teruskanlah menabur bakti dengan cara tersendiri. Sekadar mengambil dua contoh terdekat yang popular, seperti Uncle Kentang dan Lando Brotherhood yang sememangnya terkenal dengan kerja-kerja amal. Diharapkan mereka akan terus berbakti pada rakyat walaupun tewas pada PRU15 ini.

Uncle Kentang atau nama sebenarnya Kuan Chee Heng bertanding di Parlimen Puchong menggunakan tiket Bebas telah hilang deposit apabila sekadar mendapat 1,793 undi sahaja.

Sementara Lando atau nama sebenarnya Azlan Sani Zawawi di bawah bendera Pejuang juga tewas dan hilang deposit apabila mendapat 3,557 undi.

Jika dipandang dari sudut populariti, Uncle Kentang dan Lando sangat popular di tempat mereka bertanding dan tidak ketinggalan di media sosial. Seperti Uncle Kentang, tanyalah orang Puchong, siapa agaknya orang pertama yang akan mereka hubungi untuk meminta bantuan, pasti nama Uncle Kentang akan tersenarai.

Sementara bagi Lando pula, ramai mengenali beliau sebagai pelakon yang banyak membintangi karya-karya terbitan Skop Productions termasuklah siri ‘Roda-Roda Kuala Lumpur.’ Manifesto Lando ialah untuk menaik taraf jalan sedia ada. Beliau nekad bertanding kerusi Parlimen Tanjong Karang selepas kematian ahli Brotherhood akibat nahas jalan raya.

Pun begitu walaupun kalah, dalam hantaran rasminya di TikTok, Lando mengucapkan terima kasih di atas sokongan yang diberikan padanya. Bagi Lando, ini merupakan permulaan baharu yang baik bagi dirinya.

Artikel Berkaitan:

Dua calon ini hanyalah sekadar contoh yang boleh dijadikan teladan untuk mereka yang kalah agar teruskan perjuangan membantu rakyat dengan cara tersendiri. Mereka mungkin kalah atas kertas namun tetap menang di hati warga Puchong dan Tanjong Karang secara keseluruhannya.

Negara memerlukan lebih ramai lagi orang-orang seperti ini yang mahu berkhidmat pada rakyat tanpa mengharapkan pangkat semata-mata. Semoga dengan usaha baik ini dapat menjadi contoh pada yang lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!