Misteri buaya gergasi makan manusia di Burundi
GITEGA - Nasib seekor buaya gergasi yang didakwa memakan ratusan manusia menjadi tanda tanya sama ada ia masih hidup atau sudah mati di Burundi.
Buaya sepanjang lebih enam meter yang dikenali dengan nama Gustave itu membaham manusia dekat Tasik Tanganyika, Burundi sejak bertahun-tahun lalu.
Setakat ini, tidak diketahui sama ada binatang yang dianggap seberat satu tan itu masih hidup atau mati.
Ramai orang yang cuba menangkap atau membunuh buaya itu.
Namun, semua percubaan untuk menangkapnya berakhir dengan kegagalan.
Umur buaya itu mungkin sekitar 60 tahun walaupun terdapat dakwaan ia telah berusia mencecah 100 tahun.
Rekod serangannya terhadap orang yang tinggal di pantai timur laut Tasik Tanganyika bermula sejak tahun 1987, menurut National Geographic.
Saksi keganasan haiwan itu pernah mengingati buaya besar yang luar biasa tersebut mempunyai parut di bahagian atas kepalanya.
Parut itu dianggap sebagai luka peluru.
Haiwan itu didakwa mempunyai sekurang-kurangnya tiga luka peluru akibat tembakan daripada pemburu yang cuba membunuhnya, namun usaha tersebut semuanya tidak berjaya.
Buaya misteri itu pernah memusnahkan perangkap untuk menangkapnya.
Terdapat dakwaan haiwan itu dibunuh pada tahun 2019 tetapi tiada bukti-bukti ia telah mati menyebabkan orang ramai takut makhluk misteri tersebut masih hidup. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!