‘Orang Langkawi nak Tun M berehat’

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

ORANG Langkawi nak Tun M berehat. Ya memang inilah antara corat-coret PRU15 yang hangat diperkatakan di media sosial sejak keputusan rasmi dikeluarkan pada awal pagi Ahad.

Secara jujur, itu juga yang bermain di fikiran Merak Jalanan apabila tokoh yang telah banyak berjasa pada negara tewas di Langkawi. Paling menyedihkan apabila penama Mahathir Mohamad itu bukan setakat hilang kerusi malah hilang deposit bersama dua lagi calon lain yang bertanding di P004 Langkawi.

Hilang deposit bermakna Tun M mendapat peratusan undi yang terlalu sedikit berbanding calon lain. Justeru, beliau hilang wang pertaruhannya. Namun dalam bahasa tersirat bagi sesetengah orang pula bermaksud beliau sudah hilang pengaruh dan kepercayaan di kawasan yang diterajui sejak sekian lama itu.

Sebut nama Langkawi, orang akan teringat Mahathir dan sebut nama Mahathir, selain Malaysia, tergambar juga keindahan Langkawi. Itu antara hakikat yang tidak boleh dipertikaikan, begitulah sinonimnya Malaysia, Langkawi dan Tun M.

Namun pada PRU ini kubu tersebut gagal dipertahankan apabila tewas di tangan penyandang baharu Mohd Suhaimi Abdullah (PN) yang mendapat 25,463 undi.

Ternyata kekalahan Tun M yang pernah mencipta rekod menjadi Perdana Menteri Malaysia paling lama berkhidmat dalam sejarah negara iaitu selama 22 tahun itu merupakan tamparan hebat pada kerjaya politiknya.

Pun begitu, ramai yang meminta agar Tun M serta para penyokong tegar mengambil kekalahan ini dari sudut positif iaitu masa untuk Tun M berehat dan menikmati hidup yang tenang tanpa memikirkan masalah negara pada usia 97 tahun seperti mana atuk-atuk kita.

Berilah peluang pada orang lain yang lebih muda untuk memimpin pula. Namun sudah semestinya nasihat-nasihat Tun akan diteruskan dan tidak akan diabaikan. Berehatlah kerana kami sayang Tun.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!