Misi quadruple Harimau Selatan
SETELAH menjulang trofi Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) mencongak peluang meraih trofi keempat, Piala Malaysia pada aksi final Sabtu ini.
Sekiranya berjaya, ia sekali gus mencatatkan rekod selaku pasukan pertama mencatat kejayaan quadruple (empat trofi semusim), dalam saingan bola sepak tanah air.
Bagaimanapun, pengendali skuad Harimau Selatan itu, Hector Bidoglio mahu kesebelasan pemain memberikan fokus kepada aksi final selain berada pada tahap prestasi terbaik menjelang aksi final berkenaan.
“Memang ia sangat penting untuk kita melengkapkan trofi keempat kita musim ini...tetapi, apa yang lebih penting adalah untuk kita berada pada tahap terbaik menjelang final kali ini.
“Kelab ini semakin hari semakin meningkat naik dan sekiranya kali ini kami berjaya mendapatkan trofi keempat (Piala Malaysia) nanti, ia merupakan kejayaan yang besar buat kami.
“Lagipun bola sepak sering menyaksikan aksi ‘balas dendam’ tahun lepas agak sukar buat kami, tetapi kami berpeluang melakukannya (menang) kali ini...walaupun sukar kesemua pemain telah diingatkan agar meminimumkan kesilapan, beraksi dengan cara kita sendiri dan akhirnya muncul selaku pemenang,” katanya.
JDT mara ke final TM Piala Malaysia 2022 apabila menewaskan Sabah FC 3-1 (aggregat 4-1), di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Ahad.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan itu mara ke final dan berpeluang menebus kehampaan tewas 0-2 kepada Kuala Lumpur City FC musim lalu.
Mengulas aksi berdepan Sabah FC, Bidoglio mengakui ia merupakan satu perlawanan yang sukar apabila menyaksikan kesebelasan skuad The Rhino itu mempamerkan aksi mantap di sepanjang perlawanan.
Bagaimanapun katanya, kesebelasan JDT berjaya mengatasi situasi tersebut dengan melancarkan asakan berbahaya ke pintu gol Sabah FC.
“Ia satu perlawanan yang sukar berdepan Sabah FC, namun pemain-pemain (JDT) dilihat telah beraksi dengan baik dengan tekanan tinggi (high pressing).
“Namun, menjelang aksi final nanti, pemain-pemain perlu terus menunjukkan peningkatan bagi memberikan aksi yang terbaik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!