Argentina diramal menang mudah ke atas Arab Saudi
ARGENTINA yang akan diketuai oleh Lionel Messi dilihat tidak akan berdepan masalah pada aksi pembukaan kumpulan C bertemu Arab Saudi pada Selasa.
Berdasarkan prestasi semasa, Argentina dilihat sebagai pilihan untuk memenangi aksi tersebut berbanding Arab Saudi yang mempunyai rekod yang kurang baik pada aksi pembukaan Piala Dunia
Ketika ini, pasukan Amerika Selatan itu mengharungi 36 perlawanan tanpa kalah dengan penjaring terbanyak dan kapten pasukan Messi bermain untuk Piala Dunia kelima dan terakhir buat dirinya.
“Saya melihat dia seperti biasa... tidak sabar-sabar untuk menikmati Piala Dunia.
“Dia menikmati rakan sepasukannya yang hebat dan kini menjalani sesi latihan, dan keseluruhan proses secara bersama,” kata jurulatih Argentina Lionel Scaloni.
Arab Saudi yang kini berada di kedudukan 48 tempat lebih rendah daripada Argentina, tewas kepada Venezuela, Colombia dan Croatia dalam perlawanan persahabatan sebelum ini.
Mereka juga mempunyai rekod buruk pada perlawanan pembukaan termasuk tewas 5-0 kepada Rusia pada 2018 dan 8-0 kepada Jerman pada 2002.
Bagaimanapun cabaran pasukan Timur Tengah itu tidak boleh dipandang mudah apabila mereka melayakkan diri ke Piala Dunia kali ini dengan mengungguli kumpulan di hadapan Jepun.
“Saya melihat sebuah negara yang penuh dengan pemain muda dan berbakat. Kami mencapai sasaran pertama, mari kita bekerjasama untuk yang lain," kata jurulatih Herve Renard.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!