Prestasi luar biasa, PN ibarat phoenix bangkit daripada abu

Muhyiddin (kiri) semasa sidang media mengenai keputusan rasmi PRU15 di Glenmarie Shah Alam pada Ahad.
Muhyiddin (kiri) semasa sidang media mengenai keputusan rasmi PRU15 di Glenmarie Shah Alam pada Ahad.
A
A
A

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan penguasaan semula Perikatan Nasional (PN) dalam landskap politik negara sejak tahun lalu, ibarat phoenix yang bangkit daripada abu.

Siapa sangka koalisi diterajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan yang diramalkan 'bungkus' oleh pemerhati politik selepas Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa meletak jawatan Perdana Menteri kelapan, berjaya mencipta kejutan terbesar.

Buat pertama kali dalam sejarah politik negara, PN berjaya memecahkan dominasi BN dan Pakatan Harapan (PH) dengan memenangi 73 kerusi Parlimen dengan 44 kerusi berkenaan disumbangkan oleh Pas, manakala Bersatu meraih 29 kerusi.

Selain itu, Pas turut memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis, selain menjadi parti paling dominan memenangi kerusi DUN di Perak dan Pahang meskipun kedudukan DUN di kedua-dua negeri itu masih tergantung.

Gelombang 'hijau' membadai negeri Kelantan, Terengganu dan Perlis pada PRU15, sekali gus menjadi isyarat kaum Melayu mahukan parti Melayu alternatif lebih bersih.
Gelombang 'hijau' membadai negeri Kelantan, Terengganu dan Perlis pada PRU15, sekali gus menjadi isyarat kaum Melayu mahukan parti Melayu alternatif lebih bersih.

Dengan PN dilihat lebih berpeluang cerah membentuk kerajaan campuran baharu bersama BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-BN pasca PRU15 berbanding Pakatan Harapan (PH), banyak pihak masih tertanya-tanya apakah faktor utama penyumbang berlakunya tsunami 'biru muda' dan 'hijau' melanda politik negara ketika ini.

PRESTASI LUAR BIASA

Kejayaan PN itu meskipun menyebabkan kedudukan Parlimen tergantung dilihat sangat luar biasa mengambil kira prestasi koalisi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini, diklasifikasikan kurang memuaskan.

Artikel Berkaitan:

"Bagi saya, penilaian prestasi PN sangat teruk pada PRN Johor dan Melaka adalah tidak tepat kerana parti itu masih mampu mengekalkan dua kerusi DUN di Melaka dan Johor pada saat kadar peratusan keluar mengundi lebih memihak kepada BN.

"Selain itu, dari segi jumlah penerimaan undi menyeluruh, PN berjaya meletakkan parti itu di kedudukan kedua selepas BN, jauh lebih baik berbanding PH di kedua-dua PRN berkenaan.

"Sejujurnya saya tidak terkejut PN dan Pas mencipta kejutan pada PRU15 tanpa perlu mengharapkan impak Muafakat Nasional (MN) kerana prestasi mereka mendepani pilihan raya umum semakin meningkat," ujar penganalisis politik veteran, Dr Chandra Muzaffar kepada Sinar Premium.

JADI 'UNDERDOG'

Satu lagi faktor penyebab PN dan Pas berjaya mencipta kejayaan besar pada PRU15 meskipun tampil sebagai 'underdog' adalah koalisi-koalisi dominan seperti BN dan PH seolah-olah memandang rendah kemampuan dan pengaruh Pas dan Bersatu dalam kalangan pengundi Melayu.

Ujar Chandra, bermula tahun 2015 apabila ramai pemimpin Melayu UMNO mula terpalit dengan isu rasuah dan masalah moral seperti kes 1MDB, Pas membuktikan keputusan parti itu bergerak solo selepas keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) berbaloi apabila memenangi 18 kerusi Parlimen pada PRU14.

"Banyak pihak masih mengambil ringan isyarat berkenaan termasuk UMNO, walaupun kerjasama MN dengan Pas terbukti membantu UMNO memenangi tujuh siri Pilihan Raya Kecil (PRK) pasca PRU14 sebelum peristiwa Langkah Sheraton tahun 2020.

"Hakikatnya majoriti pengundi Melayu sudah menunjukkan petanda untuk beralih sokongan kepada Pas yang kini bersama Bersatu melalui koalisi PN selepas PRU14.

Peta menunjukkan lautan biru tua menguasai negeri di utara dan pantai timur.
Peta menunjukkan lautan biru tua menguasai negeri di utara dan pantai timur.

"Hal ini susulan mereka sudah hilang kepercayaan kepada UMNO-BN yang masih terperangkap dengan isu rasuah, kleptokrasi dan salah guna kuasa di bawah pimpinan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi," kata Chandra.

TSUNAMI MELAYU

Sementara itu, bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berpandangan tsunami pengundi Melayu termasuk golongan muda beralih kepada PN dan Pas adalah disebabkan koalisi itu memberi alternatif keselesaan psikologi kepada mereka.

Tegas beliau, kelompok pengundi Melayu konservatif ini tidak akan beralih sokongan kepada PH, sebaliknya menyokong parti alternatif yang menjunjung panji-panji Islam disebabkan agama itu merupakan sebahagian daripada cara hidup orang Melayu.

Ujarnya, pengundi Melayu melihat Pas dan Bersatu sebagai parti Melayu yang bersih daripada rasuah, lebih merendah diri serta tidak terlalu ghairah merebut kuasa politik berbanding UMNO-BN.

"Keputusan PRU15 adalah bukti jelas orang Melayu kecewa dengan UMNO, sebagai kaum bukan Melayu kecewa dengan MIC dan MCA pada PRU 2008.

"Kelompok ini mahukan perubahan, tetapi mereka tidak akan sesekali memilih PH. Ini kerana mereka melihat pendekatan terbuka dan liberal koalisi berkenaan termasuk sikap pesimistik DAP terhadap 'ketuanan Melayu', dibimbangi memberi ancaman terhadap hak kaum Melayu dan kedaulatan agama Islam," jelas Mohamad Khir lagi.

RAKYAT MAHU PEMIMPIN BERSIH

Satu lagi faktor penting yang membentuk gelombang penolakan besar-besaran pengundi Melayu terhadap UMNO-BN adalah disebabkan sikap rakus dan ghairah Ahmad Zahid menggunakan kesempatan mengadakan PRU15 sebagai cubaan menyelamatkan dirinya daripada kes mahkamah.

Tsunami 'biru tua' tolak BN pada PRU15 petanda pendirian moral pengundi Melayu masih belum korup.
Tsunami 'biru tua' tolak BN pada PRU15 petanda pendirian moral pengundi Melayu masih belum korup.

Ditambah tuntutan UMNO mahukan PRU15 segera pada saat rakyat bimbang ancaman banjir hujung tahun, parti itu mungkin tidak berdepan dengan kekalahan paling teruk dalam sejarah sekiranya pemimpin-pemimpinnya bertegas mendesak Ahmad Zahid berundur sebelum mendepani pilihan raya.

"Bagi saya, dakwaan berlaku tsunami 'hijau' dan 'biru muda' hanya sekadar penyataan pendirian moral kaum Melayu Islam terhadap situasi politik semasa.

"Mereka menolak pemimpin rasuah dan tidak bermoral, mereka akan beralih kepada parti yang memperjuangkan Islam dan Melayu, termasuk Bersatu dipimpin Muhyiddin yang pernah mempunyai rekod pencapaian perkhidmatan cemerlang sebagai Perdana Menteri sebelum ini," ujar Chandra lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!