Mentaliti Ecuador tak koyak dek VAR
PENGENDALI Ecuador, Gustavo Alfaro memuji respons para pemain Tricolors ketika berdepan tuan rumah Qatar dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A Piala Dunia di Stadium Al Bayt pada awal pagi Isnin.
Malah pengendali dari Argentina itu kagum dengan tindak balas positif pasukannya terhadap gol awal yang dibatalkan video bantuan pengadil (VAR) dalam perlawanan tersebut.
“Keputusan VAR mempunyai kesan amat mendalam terhadap para pemain. Sesungguhnya ia mengubah mood kami, tetapi mentaliti para pemain tetap kuat bertahan seterusnya kekal mengasak memburu gol pendahuluan.
"Para pemain bertanya kepada saya semasa semakan semula oleh VAR dijalankan, ‘apa yang berlaku?’
“Saya terlepas pandangan terhadap apa yang berlaku semasa jaringan itu tetapi rakan sekerja saya melihat video itu. Namun saya berharap apabila pemain berada dalam keadaan sedemikian semakan semula perlu dilakukan dengan penuh bijaksana kerana situasi sangat sulit," katanya.
Pada perlawanan itu, El Tri sepatutnya mendahului The Maroon seawal minit kelima namun tandukan Enner Valencia dibatalkan VAR kerana pemain Ecuador tersebut terlebih dulu didapati berada dalam keadaan ofsaid.
Ecuador menyingkap saingan Piala Dunia langkah kanan selepas menjinakkan Qatar 2-0 hasil gol dijanakan Valencia pada minit ke-16' dan 31'.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!