Penulis skrip Mazelan Manan meninggal dunia

Mazelan atau nama sebenarnya Mazlan Abdul Manan disahkan menghidap penyakit kanser hidung pada Mac 2020. - Foto kredit Hashim Anang
Mazelan atau nama sebenarnya Mazlan Abdul Manan disahkan menghidap penyakit kanser hidung pada Mac 2020. - Foto kredit Hashim Anang
A
A
A

SHAH ALAM - Penulis skrip drama terkenal, Mazelan Manan, 58, meninggal dunia di kediamannya di Taman Perdana Jaya, Serada di Kuala Terengganu pada Isnin.

Beliau sebelum ini kerap menjalani rawatan radioterapi dan kimoterapi meninggal dunia awal pagi ini dipercayai akibat penyakit kanser hidung dan paru-paru.

Anak kedua arwah, Muhammad Najmie Maziez Mazlan, 30, ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan perkara itu.

“Jenazah akan dikebumikan hari ini di Tanah Perkuburan Islam Makam Tok Ku Pulau Manis,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Siti Hawa Ibrahim, 56, dan lima anak.

Pada 3 Jun lalu, nasib Mazelan yang menderita penyakit kanser hidung dan paru-paru lebih dua tahun lalu itu turut mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri diwakili Setiausaha Akhbarnya, Asyraf Afnan Ahmad Murtadza dan Pegawai Khas Media, Muhammad Akmal Fitri Suhaimi, melawat Mazelan di rumahnya di Taman Perdana Jaya, Serada.

Turut serta dalam lawatan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Nordina Haron, Pengarah Zon Timur YKN, Zahimi Mohamad serta pelakon dan pengacara, Zoey Rahman.

Artikel Berkaitan:

Mazelan atau nama sebenarnya Mazlan Abdul Manan disahkan menghidap penyakit kanser hidung pada Mac 2020, sebelum ia merebak ke paru-paru.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!