Pasca PRU15, Polis Selangor bersiap sedia
SHAH ALAM - Polis Selangor sentiasa berada dalam keadaan siap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku di sepanjang menghadapi pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan pembentukan kerajaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pelbagai elemen telah digerakkan bagi memastikan ketenteraman dan keselamatan awam sentiasa terjamin.
"Saya ingin menegaskan Polis Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati cuba mengancam keselamatan negara. Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba berbuat demikian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Arjunaidi berkata, masyarakat di Selangor dinasihatkan agar sentiasanmenghormati undang-undang demi mengekalkan keamanan serta perpaduan di negara ini.
"Orang ramai dinasihatkan sentiasa menghormati undang-undang serta tidak cuba untuk menimbulkan sebarang perkara yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam," katanya.
Arjunaidi berkata, Polis Selangor telah menerima sebanyak 14 laporan polis berhubung PRU15 dan daripada jumlah tersebut, sebanyak tiga kertas siasatan telah dibuka.
"Jumlah keseluruhan laporan polis yang diterima sejak 5 November sehingga semalam (Ahad) adalah sebanyak 442 laporan polis dengan sebanyak 86 kertas siasatan dibuka," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!