Van sekolah haram berleluasa
KUALA LUMPUR - Semakin licik dan berani mencabar undang-undang negara. Itu kegiatan kira-kira 12,000 pengusaha yang menjalankan perkhidmatan van sekolah secara haram di negeri ini.
Naib Presiden Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia, Mohd Haron Mohd Sidik berkata, pihak terbabit kini licik apabila tidak lagi hanya menggunakan van berwarna putih untuk beroperasi.
Sebaliknya ada antara pengusaha menggunakan van berwarna amber (kuning sekolah), siap tertulis perkataan bas sekolah di kiri kanan kenderaan seperti bas/van sekolah berdaftar.
Tujuannya untuk menipu dan cuba mengaburi mata pelanggan serta pihak berkuasa kerana kenderaan tersebut tidak berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengakutan Jalan (JPJ).
Lebih dikesali, ada pihak berani membuat salinan dokumen palsu permit dan lesen bas.
“Bagi mengelak kesalahan mereka dihidu pihak berkuasa, ada syarikat mempunyai beberapa unit kenderaan hanya mendaftar sebuah bas, selebihnya menggunakan salinan permit pendaftaran asal.
"Jika berlaku kemalangan maut, mungkin pihak insurans tidak akan bertanggungjawab terhadap penumpang kenderaan tidak berdaftar,” katanya.
Mohd Haron yang juga Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Kinrara, Puchong berkata, ada pemilik kenderaan haram berlagak seperti samseng dengan menakut-nakutkan dan mengugut pengusaha berdaftar.
Katanya, mereka ini mempunyai geng dan ada yang menguasai perkhidmatan van sekolah di satu-satu sekolah.
“Sesiapa yang tak mahu ikut kehendak mereka akan diugut. Mereka macam ‘abang besar’ di kawasan tersebut.
“Jika ditanya mengapa perkhidmatan bas atau van sekolah tak ada kelulusan, mereka bagi alasan mencari rezeki yang halal, tidak mengganggu sesiapa pun.
“Ada yang kata jika mereka berdaftar akan terikat dengan undang-undang ketat,” katanya.
Menurutnya, jika keadaan ini dibiar berterusan industri bas sekolah akan tenat dan gulung tikar kerana ramai pelanggan beralih ke van haram.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!