Bekas ADUN Seberang Takir meninggal dunia

Abdul Rashid
Abdul Rashid
A
A
A

KUALA NERUS – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Abdul Rashid Ngah, meninggal dunia kira-kira jam 10.15 malam Ahad di Hospital Kajang.

Cucunya, Munirah Sharifuddin berkata, jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya selepas Zohor, pada Isnin.

Allahyarham mula dimasukkan ke Hospital Kajang pada 14 November lalu dan menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga terdekat.

“Jenazah disembahyangkan di Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi,” katanya.

Sementara itu adik ipar Allahyarham, Mohd Shapian Ali berkata, tahap kesihatan arwah agak merosot kebelakangan ini dan dimasukkan ke hospital akibat sakit jantung dan sakit tua.

“Pemergian beliau satu kehilangan besar buat keluarga kerana sifat kasih sayangnya terhadap kami semua,” katanya ketika media, pada Isnin.

Menurutnya, walaupun kurang sihat, Allahyarham masih aktif menulis buku dan novel kenegaraan serta politik tetapi tidak sempat diterbitkan sehingga kini.

Bekas guru itu terkenal sebagai pengarang dan penulis novel antaranya ‘Di Bawah Alunan Ombak’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1961.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham Abdul Rashid adalah ADUN di Malaysia yang memenangi tujuh penggal pilihan raya, iaitu tahun 1973, 1974, 1978, 1982, 1986, 1990, dan 1995.

Beliau juga telah dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu mulai tahun 1978 hingga 2004.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!